Khamis, 25 Januari 2018 | 6:44pm
PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin turut dicalonkan pada Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2017, Sabtu ini. - Foto Osman Adnan

Anugerah permotoran SIC-MAM Sabtu ini

KUALA LUMPUR: Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2017 bakal diadakan di sebuah hotel di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada Sabtu ini dengan menyaksikan 13 kategori menjadi rebutan.

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata bagi edisi kedua ini, sebanyak dua anugerah baharu diperkenalkan iaitu Pemandu Antarabangsa Terbaik Shell dan Pelumba Antarabangsa Terbaik Shell.

Katanya, untuk kategori pemandu, tiga nama besar iaitu Afiq Ikhwan Yazid mewakili Lamborghini Super Trofeo selain Alex Yoong (Piala Audi R8 LMS) dan Mitch Gilbert (Piala Audi R8 LMS) berada dalam senarai.

Bagi kategori pelumba, Hafizh Syahrin Abdullah (MotoGP), Azlan Shah Kamaruzaman (ARRC) dan Muhammad Ibrahim Norrodin (KTM RC 390 Cup Asia), masing-masing turut dicalonkan.

"Oleh kerana kita mahu menjadikan sukan permotoran negara berjaya, maka kami perlu mengiktiraf usaha, pengorbanan dan pencapaian yang diraih oleh pihak terbabit.

"Dengan penganjuran kali kedua ini, saya percaya acara ini adalah satu acara penting dalam kalendar permotoran negara.

"Kita meraikan pencapaian tertinggi dan berkongsi pengalaman mereka bagi meraih tahun yang lebih baik pada masa akan datang," kata Razlan.

Selain dua di atas, kategori lain yang menjadi rebutan pada Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2017 itu adalah Pasukan Terbaik (empat roda), Pasukan Terbaik (dua roda) dan Pemandu Kebangsaan Terbaik.

Disamping itu, Pelumba Kebangsaan Terbaik, Pemandu Paling Meningkat Terbaik, Pelumba Paling Meningkat Terbaik, Anugerah Pembangunan Permotoran KBS, Anugerah Permotoran Pilihan Ramai.

Turut disediakan adalah Anugerah Dewan Kemasyhuran Permotoran Malaysia dan Anugerah Media SIC MAM SAM (Penulisan Terbaik, Jurukamera Terbaik dan Elektronik Terbaik).

Tahun lalu, anugerah ini yang diadakan buat pertama kalinya di ibu negara menyaksikan sebanyak lapan kategori dipertandingkan.

Pada tahun ini, Shell Malaysia muncul selaku penaja utama.

Berita Harian X