Ahad, 4 Februari 2018 | 12:42am
AKSI pelumba Eurasia Motosport, Nabil Jeffri ketika sesi kelayakan kelas LMP2 Asian Le Mans Series di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Luqman Hakim Zubir
AKSI pelumba Eurasia Motosport, Nabil Jeffri ketika sesi kelayakan kelas LMP2 Asian Le Mans Series di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto Luqman Hakim Zubir

Nabil cemerlang di Sepang

SEPANG: Kemunculan pertama Nabil Jeffri dalam pusingan kemuncak Siri Le Mans Asia musim 2017/18 di Litar Sepang jelas berbaloi apabila pemandu negara itu menyambar petak pertama dalam sesi kelayakan kelas LMP2, sebentar tadi.

Pemandu Eurasia Motorsport itu mencatat masa sepusingan terpantas 1 minit 55.424 saat, meninggalkan pasukan BBT di petak kedua, 1:55.881s.

Tempat ketiga pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota #8 manakala sebuah lagi pasukan yang disertai wakil tempatan - Jazeman Jaafar, Weiron Tan dan Afiq Ikhwan Yazid (Jackie Chan DC Racing X Jota #7) berada di tangga keempat.

"Tak sangka tetapi pengalaman daripada GP2 selama dua tahun lalu banyak membantu Nabil untuk lebih serasi dengan kereta ini," kata Nabil kepada media.

Bagi perlumbaan esok, Nabil, 24, berkata, dia akan cuba untuk tidak terbabas dan menamatkan perlumbaan selama empat jam itu.

"Ia satu perlumbaan panjang," kata Nabil yang memulakan karier kompetitifnya dalam perlumbaan single seater di Formula BMW Pasific bersama pasukan sama pada 2010.

"Nabil tidak pernah mempunyai pengalaman dalam perlumbaan endurance empat jam. Kebiasaannya dalam satu jam saja.

"Jadi, saya akan cuba lebih ekonomi dan tidak terbabas selain menamatkan perlumbaan kerana sekiranya tamat perlumbaan, potensi untuk menang itu ada," katanya.

Keputusan

Sesi kelayakan LMP2

1. Eurasia Motorsport (Nabil Jeffri, Marco Asmer, Jake Parsons) 1:55.424s

2. BBT (Anthony Xu Liu, Davide Rizzo, Pipo Derani) 1:55.881s

3. Jackie Chan DC Racing X Jota #8 (Stephane Richelmi, Harrison Newey, Thomas Laurent) 1:56.138s

4. Jackie Chan DC Racing X Jota #7 (Jazeman Jaafar, Weiron Tan, Afiq Ikhwan Yazid) 1:56.644s

5. Algarve Pro Racing (Ate Dirk de Jong, Dean Koutsoumidis, John Graham) 2:03.178s

6. ARC Bratislava (Miro Konopka, Konstantins Calko) *tiada catatan masa dilakukan

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X