Rabu, 2 Mei 2018 | 6:28pm
WEIRON Tan (tengah), Jazeman Jaafar (kanan) harungi cabaran baharu dalam karier perlumbaan mereka apabila berada dalam satu pasukan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC). - Foto NURUL SHAFINA JEMENON
WEIRON Tan (tengah), Jazeman Jaafar (kanan) harungi cabaran baharu dalam karier perlumbaan mereka apabila berada dalam satu pasukan di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC). - Foto NURUL SHAFINA JEMENON

Jazeman, Weiron, Nabil harungi cabaran baharu dalam karier

KUALA LUMPUR: Tiga pelumba negara - Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan bakal mengharungi cabaran baharu dalam karier perlumbaan mereka apabila buat kali pertama mereka berada dalam satu pasukan untuk beraksi di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) di Litar Spa-Francorchamps, Belgium, hujung minggu ini.

Malah, gabungan ini bakal meletakkan mereka dalam sejarah, muncul selaku pasukan pertama yang disertai 100 peratus pemandu negara di perlumbaan berprestij  itu.

Ketiga-tiga pemandu ini bakal beraksi di bawah pasukan Jackie Chan DC Racing menggunakan jentera #37 Oreca dalam kelas LMP2.

Jazeman yang mengepalai pasukan berkata, dia tidak sabar untuk membuat kemunculan pertamanya dalam perlumbaan berkenaan meskipun sedar bakal berdepan saingan sengit.

"Jujurnya, saya tidak sabar untuk membuat kemunculan pertama dan mencipta sejarah dengan barisan pemandu yang kesemuanya dari Malaysia," kata Jazeman yang pernah beraksi dalam perlumbaan Formula Renault 3.5, sebelum ini. "Spa adalah sebuah trek yang saya kenali dan amat menantikan cabarannya."

Apapun, keutamaan mereka bagi musim ini adalah menyertai perlumbaan berprestij Le Mans 24 Jam di Perancis yang turut menjadi lokasi bagi Pusingan 2 pada 16 dan 17 Jun ini.

Secara keseluruhannya sebanyak 37 kereta bakal beraksi pada pusingan pembuka tirai ini di Belgium dan antara pemandu terkemuka yang bakal beraksi ialah bekas juara Formula Satu (F1) 2009, Jenson Button.

Berita Harian X