Jumaat, 15 Jun 2018 | 7:28pm
PELUMBA Le Man (diri kiri) Nabil Jefri, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan hadir pada majlis memperkenalkan pelumba Le Mans 24 Hours di KLCC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria
PELUMBA Le Man (diri kiri) Nabil Jefri, Jazeman Jaafar dan Weiron Tan hadir pada majlis memperkenalkan pelumba Le Mans 24 Hours di KLCC. - Foto Muhd Zaaba Zakeria

Pelumba Jackie Chan bermula di petak ke-20

LE MANS, Perancis: Pelumba Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Weiron Tan, Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar akan memulakan Perlumbaan 24 Jam di Le Mans pada kedudukan ke-20 daripada 60 pencabar, esok.

Trio pasukan Jackie Chan DC Racing X Jota itu merakam catatan sepusingan terbaik menerusi tiga minit dan 27.226 saat pada pusingan kelayakan ketiga dan terakhir (QP3) yang berakhir lewat malam tadi di Litar de la Sarthe.

Catatan itu membolehkan mereka meraih kedudukan ke-20 daripada 60 jentera semua kelas dan kedudukan ke-10 dalam divisyen LMP2.

Terdahulu, mereka mencatat 3:27.468 saat pada pusingan kelayakan pertama dan 3:40.074 saat pada pusingan kelayakan kedua.

Weiron Tan berkata keadaan trafik di atas litar sedikit mengganggu pemanduan mereka namun optimis bagi perlumbaan esok.

"Pasukan melakukan kerja dengan baik. Sasaran kami bukan untuk menamatkan pada kedudukan podium, namun untuk mencipta kereta yang bagus bagi saingan 24 jam.

"Di pusingan kelayakan pun masih sukar untuk mendapatkan pusingan yang lancar kerana sentiasa ada trafik di atas litar.

"Tidak mengejutkan untuk menyaksikan banyak kereta di atas litar. Latihan dan pusingan kelayakan sudah berakhir jadi tumpuan kini adalah pada perlumbaan," katanya.

Perlumbaan akan berlangsung jam 3 petang waktu tempatan esok (9 malam Malaysia) dan akan berakhir selepas 24 jam, Ahad ini.

Ini adalah kali pertama semua pelumba dari Malaysia bersaing dalam perlumbaan itu yang dianggap saingan endurance paling kompetitif di dunia.

Trio di bawah Program Pembangunan Pelumba Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu membuat penampilan pada musim pertama di WEC dengan perlumbaan di Le Mans adalah sebahagian daripadanya.

Berita Harian X