Khamis, 16 Ogos 2018 | 3:27pm

Jazeman, Nabil, Weiron sedia gegar Silverstone

KUALA LUMPUR: Trio pemandu negara, Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan bertekad untuk mengekalkan momentum mereka di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) di Sirkit Silverstone, United Kingdom hujung minggu ini.

Beraksi dalam kelas LMP2 dan kini berada di tangga ketiga keseluruhan, barisan pelumba penuh pertama negara di kejuaraan itu kini menyasarkan keputusan yang lebih baik selepas berehat panjang daripada pusingan kedua di Le Mans 24 Jam di Perancis, dua bulan lalu.

Bagi salah seorang pelumba pasukan Jackie Chan DC Racing X JOTA Sport dengan menggunakan jentera #Fortunecat37 ORECA 07-Gibson, Nabil, dia amat menggemari trek Silverstone - sebuah litar yang sering menjadi pentas untuk perlumbaan berprestij dunia seperti Formula Satu (F1) dan MotoGP.

“Saya harap kami dapat mengekalkan momentum di Le Mans. Saya menyukai sirkit Silverstone dan sentiasa berasa baik apabila memandu dalam kelas Formula 2 sebelum ini.

“Sudah tentu, saya amat menantikan perlumbaan ini semula dan mengharapkan keputusan yang baik. Kami berada di tangga ketiga dalam kejuaraan, ketinggalan beberapa mata di belakang jentera pasukan yang lain #38 dan 15 mata di belakang pendahulu #36 (alphine),” kata Nabil.

Sementara itu, ketua pasukan Jazeman menegaskan betapa pentingnya buat mereka untuk terus konsisten sekiranya ingin memburu kejayaan hujung minggu ini.

“Konsisten adalah kunci utama dan kami ingin mengumpul lebih banyak keputusan yang bagus untuk kejuaraan ini,” kata Jazeman mengenai perlumbaan di Silverstone yang bakal menguji ketahanan selama enam jam itu.

Berita Harian X