Isnin, 20 Ogos 2018 | 6:58pm
TRIO Jackie Chan DC Racing X JOTA, Jazeman Jaafar (kiri), Nabil Jefri (tengah) dan Weiron Tan. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA
TRIO Jackie Chan DC Racing X JOTA, Jazeman Jaafar (kiri), Nabil Jefri (tengah) dan Weiron Tan. - Foto MUHD ZAABA ZAKERIA

Trio Jackie Chan DC Racing sasar Fuji 

KUALA LUMPUR: Sirkit Fuji di Jepun menjadi sasaran seterusnya buat trio pemandu negara selepas menaiki pentas podium buat pertama kalinya di Pusingan 3 Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) di Sirkit Silvertone, awal pagi tadi.

Trio Jackie Chan DC Racing X JOTA Sport #37 yang disertai Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan itu muncul kelima terpantas keseluruhan dan naib juara dalam kelas LMP2 di belakang kereta juara (Jackie Chan DC Racing #38) yang dipandu Ho-Pin Tung, Gabriel Aubry dan Stephane Richelmi.

Namun, penamat kedua itu dilihat bakal menjadi pencetus semangat buat trio sulung negara ini untuk mengecapi kejayaan lebih manis dan saingan di trek Fuji, 12 hingga 14 Oktober ini menjadi sasaran mereka seterusnya.

“Akhirnya kami meraih podium pertama dalam kejuaraan ini,” kata Jazeman mengenai perlumbaan 6 jam tanpa henti di Silvertone itu.

“Perlumbaan yang mencabar dan saya memberikan segala-galanya untuk negara, pasukan dan berharap lebih banyak kejayaan akan menyusul selepas ini.”

Sementara itu, Nabil bersyukur atas kejayaan pertama di podium selain menetapkan sasaran untuk mempertingkatkan lagi keupayaan diri menjelang perlumbaan di Fuji.

“Alhamdulillah nombor dua,” katanya. “Belum ada rezeki untuk menang dan kami akan cuba yang terbaik di Fuji. Saya akan terus memperbaiki diri.”

Berita Harian X