Rabu, 3 Oktober 2018 | 2:49pm
HAMILTON mahu mengembalikan kepercayaan peminat terhadap kemampuannya di GP Jepun. - AFP

Hamilton mahu 'amuk' GP Jepun

TOKYO: Lewis Hamilton mahu mengembalikan kepercayaan peminat terhadap kemampuannya di Grand Prix (GP) Jepun, selepas terbabit dalam kontroversi yang membabitkan pasukan Mercedes di Russia, hujung minggu lalu.

Namun pendahulu kejuara Formula Satu (F1) itu masih enggan menjawab teka teki mengenai masa depannya bersama pasukan Mercedes, apabila kontraknya berakhir pada 2020.

Hamilton memperoleh kemenangan ke-70 dalam kariernya pada minggu lalu apabila Valtteri Bottas diberi arahan supaya memberi laluan di Sochi – dengan juara bertahan itu menggambarkannya sebagai “hari yang pelik” dalam kariernya.

Pemandu Britain ini mendahului 50 mata di depan pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dengan baki lima perlumbaan musim ini.

Hamilton pastinya mahu membuktikan dia mampu mencapai kemenangan dengan kemampuan sendiri di Suzuka pada hujung minggu ini, sekaligus memburu gelaran kali kelima.

Walaupun dikritik, bos Mercedes, Toto Wolff menegaskan dia tidak menyesal mengeluarkan arahan untuk memberi laluan kepada Hamilton.

“Saya rela menjadi jahat hari ini daripada kelihatan bodoh di penghujung tahun,” katanya. “Secara rasionalnya ia adalah tindakan yang tepat.”

Wolff menjangkakan Hamilton yang memenangi kemenangan di Jepun buat kali keempat tahun lalu, akan sekali lagi mendominasi hujung minggu ini.

“Lewis laparkan kemenangan, fokus dan berdedikasi untuk mencapai kejayaan sepenuhnya,” katanya kepada media Austria. – AFP

 

 

Berita Harian X