Sabtu, 6 Oktober 2018 | 12:03pm
LITAR Zandvoort
LITAR Zandvoort

GP Belanda bakal kembali warnai F1

PARIS: Harapan untuk menyaksikan Grand Prix Belanda kembali semula ke kalendar Formula Satu (F1) semakin cerah selepas pengarah perlumbaan FIA, Charlie Whiting berkata, Litar Zandvoort memerlukan sedikit perubahan untuk layak menganjurkan perlumbaan berprestij itu.

Litar yang kali terakhir menganjurkan perlumbaan F1 pada 1985 itu pernah menganjurkan beberapa demo jentera F1 bersama Red Bull sejak beberapa tahun lalu.

Bercakap kepada media, Whiting berkata: “Saya rasa ada potensi yang baik di Zandvoort.”

“Beberapa aspek memerlukan perubahan dan ada keinginan untuk berubah. Tapi saya rasa adalah terlalu awal untuk bercakap mengenainya.

“Kami membuat penilaian berdasarkan kepada kedudukan litar dan tidak membabitkan elemen komersial. Berdasarkan ciri-ciri keselamatan di litar, saya rasa ia boleh direalisasikan.

“Litar ini menawarkan laluan lurus yang mencukupi untuk menggunakan DRS dengan pada masa sama mengekalkan elemen sejarah. Saya rasa ia adalah litar yang menarik.

“Ditanya adakah FIA mahukan perubahan susun atur litar, Whiting berkata: “Tidak banyak, hanya beberapa perubahan kecil. 

Bagaimanapun dia mengakui beberapa perubahan perlu dilakukan sebelum litar itu boleh dipertimbangkan untuk mengendalikan F1

“Persoalan sebesar mana paddock dan di mana kedudukan peminat apabila menyaksikan perlumbaan, tiada sebarang kaitan dengan saya,” katanya. – AGENSI

Berita Harian X