Sabtu, 13 Oktober 2018 | 4:14pm
PELUMBA negara, Nabil Jeffri.
PELUMBA negara, Nabil Jeffri.

Trio negara sambar petak kedua di Fuji

KUALA LUMPUR: Trio negara pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) akan memulakan Perlumbaan Enam Jam di Fuji, Jepun dari petak kedua bagi kelas LMP2, esok.

Keputusan diraih Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan pada sesi kelayakan itu secara tidak langsung memberi tanda positif buat mereka memburu kemenangan selepas menamatkan saingan di Silverstone di tangga kedua, sebelum ini.

Petak pertama perlumbaan bagi kelas LMP2 disambar pasukan Dragonspeed yang dipandu Roberto Gonzalez, Pastor Maldonado dan Nathanael Berthon.

“Kami berharap dapat menamatkan perlumbaan selaku juara dalam perlumbaan panjang selama enam jam esok,” kata Nabil.

“Kami perlu berusaha gigih kerana setiap pemandu dalam kelompok lima terbaik mempunyai peluang untuk menang. Saya yakin kami dapat melakukan yang terbaik dan berharap semuanya berlangsung seperti diinginkan.”

Selepas tiga pusingan musim ini, Jazeman, Nabil dan Weiron yang mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing kini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 61 mata.

Mereka ketinggalan 11 mata di belakang pasukan pendahulu Signatech Alpine Matmut yang diwakili Nicolas Lapierre, Pierre Thiriet dan Andre Negrao manakala rakan sepasukan yang memandu kereta berlainan, Ho Pin Tung, Gabriel Auby dan Stephane Richelmi kedua dengan 68 mata.

Berita Harian X