Rabu, 17 Oktober 2018 | 8:22pm
Laman sesawang WEC di https://www.fiawec.com/en/race/show/4596
Laman sesawang WEC di https://www.fiawec.com/en/race/show/4596

Jazeman, Nabil, Weiron fokus gelaran juara WEC

 

SEPANG: Trio negara di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) mahu membawa 'formula kemenangan' diraih pada perlumbaan Enam Jam Fuji di Jepun ke pusingan seterusnya dengan yang terdekat di Shanghai, bulan depan.

Jazeman Jaafar, Nabil Jeffri dan Weiron Tan selamat tiba ke tanah air hari ini selepas mencipta sejarah muncul selaku gandingan 100 peratus pemandu negara pertama memenangi perlumbaan di WEC.

Kemenangan itu akan menjadi motivasi buat mereka mengharungi pusingan seterusnya apatah lagi ia dijadual berlangsung di laman sendiri pasukan disertai mereka, Jackie Chan DC Racing.

"Kami perlu terus bersama, mengekalkan momentum, menambah kecergasan dan belajar daripada kesilapan," kata Jazeman kepada media sebaik saja tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Gandingan mantap ketiga-tiga pemandu yang berada dalam Program Pembangunan Bakat Permotoran Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu kini berada di tangga ketiga keseluruhan dalam kelas disertai LMP2.

Mereka berkongsi 86 mata dengan satu lagi kereta rakan sepasukan dan hanya dibezakan satu mata daripada pendahulu ketika ini, Signatech Alpine Matmut yang mengumpul 87 mata.

Sementara itu Nabil berkata, usaha gigih mereka sejak mula digabungkan Mac lalu kini sudah membuahkan hasil dan menganggap kerjasama baik dalam pasukan banyak mendorong kepada kejayaan itu.

"Di belakang kamera, kami berusaha dengan penuh gigih. Banyak usaha dilakukan sejak Mac atau April lalu seperti menjalani ujian.

"Daripada perlumbaan pertama kami meraih tempat keempat dan kedua di perlumbaan sebelum ini. Jadi saya rasa kerjasama antara kami bagus dan harap ia dapat terus meningkat," kata Nabil.

Trio berkenaan kini menyasarkan untuk cuba memburu gelaran juara keseluruhan tatkala saingan musim 2018/19 berbaki empat pusingan saja lagi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X