Isnin, 22 Oktober 2018 | 7:31am
DARI kiri, Max Verstappen, Kimi Raikkonen dan Lewis Hamilton selepas saingan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi tadi. - Foto EPA
DARI kiri, Max Verstappen, Kimi Raikkonen dan Lewis Hamilton selepas saingan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat, awal pagi tadi. - Foto EPA

Raikkonen tangguh hajat Hamilton

AUSTIN, Texas: Lewis Hamilton terpaksa menunggu seminggu lagi untuk merangkul gelaran dunia kelima perlumbaan Formula Satu (F1) selepas pemandu Mercedes itu sekadar menamatkan saingan Grand Prix (GP) Amerika Syarikat di tempat ketiga, awal pagi tadi.

Juara menjadi milik pemandu Ferrari, Kimi Raikkonen, gelaran pertamanya sejak kali terakhir memenangi GP Australia pada 2013.

Pemandu muda Red Bull, Max Verstappen melakar kejutan dengan menamatkan saingan di tempat kedua selepas hanya bermula di petak ke-18 dengan tiga jentera kelompok hadapan masing-masing yang dibezakan dengan 2.1 saat.

Satu-satunya pencabar utama Hamilton, Sebastian Vettel dari Ferrari yang berada di kedudukan ke-15 pada pusingan awal berjaya bangkit untuk menamatkan perlumbaan di tempat keempat – keputusan yang menyaksikan perebutan gelaran juara dunia masih lagi terbuka menjelang GP Mexico hujung minggu ini.

Hamilton yang ketika ini mengumpul 346 mata berkelebihan 70 mata di depan Vettel dengan 75 mata lagi untuk dimenangi dalam baki tiga perlumbaan terakhir musim ini.

Situasi itu menyaksikan jika Vettel muncul juara di Mexico, Hamilton hanya perlu sekurang-kurangnya menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh untuk ditabalkan sebagai juara dunia kali kelima.

“Saya sebenarnya merasakan kami mampu melakukan yang lebih baik (pada perlumbaan GP Amerika Syarikat) tetapi ini yang terbaik kami boleh lakukan. Kami hanya perlu bekerja keras untuk perlumbaan seterusnya.

“Saya tidak begitu pasti bagaimana strategi yang digunakan berakhir seperti ini,” kata Hamilton yang bermula di petak hadapan tetapi hilang kedudukan itu kepada Raikkonen pada selekoh pertama di Litar Amerika. – Reuters

Berita Harian X