Jumaat, 9 November 2018 | 8:04pm
PRINSIPAL pasukan TKKR Racing, Bobie Farid Shamsuddin (tengah) bersama pelumbanya ketika pengumuman pasukan bagi musim 2018, awal tahun ini. - Foto SYED AL-JUFFRY

TKKR Racing umum pelumba kelas elit ARRC

KUALA LUMPUR: Pasukan TKKR Racing menjadi antara terawal mengumumkan pelumbanya untuk beraksi dalam kelas baharu ASB1000 di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) 2019.

Bekas pelumba Moto3 negara pada musim 2014 yang baru-baru ini dinobatkan juara keseluruhan dalam kelas Superstock di Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK), Amirul Hafiq Mohd Azmi diumumkan sebagai pelumba bagi kelas itu.

Begitupun gandingannya bakal diumumkan selepas pusingan penutup tirai ARRC 2018 di Sirkit Antarabangsa Buriram, Thailand 2 Disember ini.

Pasukan yang terus menerima sokongan daripada syarikat telekomunikasi ONEXOX SDN BHD dan XOX itu dijangka menyenaraikan pelumbanya untuk kesemua kelas dipertandingkan di ARRC musim depan iaitu ASB1000, SuperSports 600cc, AP250 dan UB150.

"(Kelas) 1000cc adalah baharu bagi pelumba yang sudah lama dalam siri 600cc Asia. Jadi di peringkat (saingan) Asia 600cc yang mempunyai pelumba negara, antaranya Boon Siew Honda dan Yamaha Hong Leong.

"Tahun depan, saya tak tahu sama ada mereka ada meletakkan pelumba untuk 1000cc ini (ataupun tidak) tetapi saya mengambil cabaran untuk memberi tempat kepada pelumba Malaysia bersaing dalam kelas 1000cc kerana bagi saya, saingan di ARRC semakin kompetitif.

"Malah, ia juga adalah platform paling sesuai untuk kita meletakkan pelumba negara bersaing di peringkat lebih tinggi. Jadi kami akan bekerjasama dengan BMW, menggunakan jenteranya (BMW S1000R) dan tempat untuk seorang lagi itu akan diumumkan tak lama lagi.

"Kita tunggu sampai penutup musim Asia (ARRC) tidak lama lagi. Dia pelumba tempatan, dua tempat untuk 1000cc ini adalah untuk pelumba tempatan," kata prinsipal pasukan, Bobie Farid Shamsuddin.

Idea awal mencetuskan kelas baharu perlumbaan ARRC 1000cc ini rancak diperkatakan pada tahun 2015 sebelum perbincangan lanjut diadakan bersama pihak dalam industri sukan permotoran.

Pada November tahun lalu, pihak penganjur perlumbaan Two Wheels Motor Racing Sdn Bhd mengumumkan secara rasmi mengenai kelas baharu itu yang akan mula diperkenalkan musim depan.

Mengulas mengenai 'kenaikan pangkat' Amirul Afiq ke kelas baharu itu, Bobie berkata: "Amirul adalah pelumba saya tahun ini dan kami memberi kelonggaran untuknya menyertai MSBK kerana dia tak menyertai Kejuaraan Cub Prix.

"Jadi ketika kami menandatangani Amirul, memang ada pelan jangka panjang untuknya. Kami menyenaraikannya dalam kelas 600cc tahun ini (di ARRC) tetapi malangnya pasukan ada sedikit isu. Teknikalnya, kuasa jentera amat kurang daripada jentera pengeluar.

"Dalam kelas ini, kami bersaing dengan pasukan pengeluar seperti Honda, Yamaha dan kami pula adalah 'Private Team'. Jadi jentera yang kami berikan kepada Amirul tahun ini, keupayaannya tidak sama dengan jentera pengeluar.

"Jadi tidak adil untuk saya mengadili Amirul di pentas Asia. Namun dia menunjukkan semangat di MSBK dan muncul selaku juara keseluruhan dan sebab itulah saya membawanya ke Asia (kelas 1000cc)," katanya yang turut mengalu-alukan tajaan syarikat swasta bagi membantu memperkuatkan lagi pasukan yang membawa nama Malaysia ini.

Berita Harian X