Khamis, 15 November 2018 | 12:48pm
Nabil Jeffri. - Foto ihsan pembaca
Nabil Jeffri. - Foto ihsan pembaca

Nabil impi podium di Shanghai

KUALA LUMPUR: Pemandu negara di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC), Nabil Jeffri mahu mengembalikan detik manis berada di podium utama pada pusingan kelima di Shanghai, China yang juga laman sendiri buat pasukan Jackie Chan DC Racing, hujung minggu ini.

Bergandingan bersama dua lagi pemandu negara - Jazeman Jaafar dan Weiron Tan, Nabil mengharapkan momentum kemenangan di Fuji, Jepun pertengahan bulan lalu bakal mengekori mereka meskipun mengakui trek di China itu masih baharu buat dirinya.

"Saya perlu kekal fokus dan terus berusaha gigih. Shanghai trek baharu buat saya jadi saya perlu mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan trek ini.

"Saya harap kereta #37 (nombor kereta digunakan mereka) dapat menjadi lebih kuat di Shanghai," kata Nabil.

Ditanya sama ada dia merasa tambahan tekanan disebabkan beraksi di laman sendiri pasukan, Nabil berkata: "Tekanan sama saja seperti perlumbaan lain sebelum ini. Apapun, saya mengharapkan pasukan dapat melakukan yang terbaik untuk meraih kemenangan." Trio negara ketika ini berkongsi 86 mata di tangga ketiga keseluruhan bersama satu lagi kereta rakan sepasukan bernombor #38 yang berada di tangga kedua, Signatech Alpine Matmut yang disertai Nicolas Lapierre, Pierre Thiriet dan Andre Negrao mendahului saingan musim dengan 87 mata untuk saingan dalam kelas LMP2.

Sementara itu, Jazeman mengharapkan rakan sepasukan terus kekal fokus apatah lagi persaingan dalam kelas pertengahan itu dilihat begitu sengit.

"Tiada yang lain tetapi hanya kekal fokus dan teruskan tahap konsisten. Kejuaraan amat sengit dan kami tidak boleh melakukan kesilapan. Ia perlumbaan laman sendiri (buat pasukan) yang penting dan kami memerlukan mata yang banyak.”

"Sebagai satu pasukan, saya, Nabil dan Weiron masih belajar tetapi apa yang baiknya kami dapat menunjukkan kemampuan dan sekarang mempamerkan tahap konsisten yang baik, jadi kesemua ini memainkan peranan," kata Jazeman.

Dalam pada itu, Weiron turut senada dengan rakan sepasukannya dan kemenangan di Fuji menjadi pembakar semangatnya untuk terus mencipta lebih kejayaan di Shanghai.

"Kami akan meneruskan momentum ini, ke perlumbaan laman sendiri pasukan (di Shanghai). Saya amat menantikan satu perlumbaan yang menarik dengan sokongan penyokong tempatan," katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X