Rabu, 28 November 2018 | 1:09am
TOTO Wolff

Wolff akui kelesuan

LONDON: Bos pasukan Formula Satu (F1) Mercedes, Toto Wolff berjenaka dia mungkin mendaftar ke pusat pemulihan selepas musim 2018 menutup tirai yang menyaksikan pasukannya menjulang kedua-dua gelaran dunia pemandu dan pengeluar buat tahun kelima berturut-turut.

Dan jika dia melakukannya, jutawan dari Austria itu mungkin tidak keseorangan.

Pelumbanya, Valtteri Bottas memulakan musim dengan keinginan tinggi untuk mencabar kejuaraan dan tewas kepada rakan sepasukan Lewis Hamilton dan pemandu kelahiran Finland itu mengakui mentalnya kini sudah keletihan.

“Dia berkata kepada saya dia mahu menghilangkan diri di kediamannya, mengecas semula bateri, melupakan, memulihkan dan meraih semula semangat dan kembali untuk tahun depan,” kata Wolff. “Saya memahami kekecewaan yang dilaluinya.”

Mercedes memuji Bottas sebagai pemain berpasukan, pelumba yang tidak bermain politik dan Hamilton turut mengakui dia mungkin gandingan terbaiknya dalam F1.

Tetapi statistik yang dikumpul olehnya kurang meyakinkan.

Bottas yang kembali menguji jentera di Abu Dhabi hari ini menjadi satu-satunya pelumba daripada tiga pasukan utama, Mercedes, Ferrari dan Red Bull gagal meraih kemenangan pada musim 2018 dan menjadi pemandu Mercedes pertama gagal melakukannya sejak Michael Schumacher pada 2012.

Sejak era V6 turbo hybrid bermula pada 2014, Mercedes sentiasa mempunyai pelumba yang menamatkan saingan di kedudukan tiga terbaik sehinggalah Bottas mengakhiri musim ini di tangga kelima.

“Ia tahun yang secara mental cukup sukar jadi saya memerlukan rehat,” kata Bottas yang akan terus memandu jentera Mercedes musim depan. - Reuters

Berita Harian X