Rabu, 5 Disember 2018 | 7:02pm
KHAIRUL Idham Pawi - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR
KHAIRUL Idham Pawi - Foto LUQMAN HAKIM ZUBIR

PETRONAS Sprinta fokus pulihkan keyakinan SuperKIP

KUALA LUMPUR: Usaha untuk memantapkan keyakinan Khairul Idham Pawi kini menjadi fokus utama pasukan PETRONAS Sprinta Racing, menjelang musim baharu Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia yang akan membuka tirainya Mac depan.

Bekas juara dalam dua perlumbaan Moto3 pada musim pertamanya di peringkat dunia pada 2016 itu, bergelut untuk meraih impak yang diinginkan sejak beralih ke kelas pertengahan, tahun lalu.

Namun Khairul Idham yang dikenali sebagai SuperKIP itu sudah mula menunjukkan kemajuan positif sejak mula beralih ke pasukan PETRONAS Sprinta Racing bulan lalu.

Namun, pengurus pasukan, Johan Stigefelt, dia tetap yakin potensi yang dimiliki pelumba muda negara itu untuk terus meningkat.

Pelumba kelahiran Perak itu menamatkan ujian pra musim pertama minggu lalu di Jerez dengan berada di tangga ke-21.

"Kami sangat terkejut dengan Khairul, dia seorang yang baik dan pelumba yang sangat bagus. Dia memberikan kami maklum balas yang menarik dan bagi saya, dia mempunyai banyak potensi," kata Stigefelt.

"Dia berdepan musim 2018 yang sukar dan kami perlu membantunya mencari semula keyakinannya. Ia adalah antara satu objektif pada ujian pertama itu. Kami hanya meraih waktu yang singkat di litar kering dan mampu menganalisa beberapa maklumat.

 

"Kami hanya terlepas catatan masa sepusingan (terpantas), tetapi Khairul memberikan lebih daripada apa yang catatan perlukan. Kini, kami akan berehat sebelum kembali menjalani ujian tahun depan."

Khairul Idham, yang sebelum ini berlumba mewakili pasukan IDEMITSU Honda Team Asia menamatkan musim Moto2 2017 dengan berada di tangga ke-27 keseluruhan dengan 10 mata, sebelum musim ini berada di tangga ke-30 dengan satu mata.

Sesi ujian dijadual bersambung di Jerez pada 20 Februari ini sebelum dan beralih ke Losail, Qatar pada 1 Mac. Losail juga akan menjadi lokasi pembuka tirai bagi musim 2019, pada 10 Mac.

Berita Harian X