Rabu, 19 Disember 2018 | 6:21pm
LEE Kim Yew (tengah) ketika sidang media di Seri Kembangan. - NSTP/Rosela Ismail

Festival GT Asia ganti F1 di Sepang

SERI KEMBANGAN: Litar Sepang bakal diwarnai dengan perlumbaan kereta empat roda Festival GT Asia pada 15 hingga 17 Mac depan, satu acara baharu selepas tidak lagi menjadi tuan rumah bagi pusingan Formula Satu (F1) bermula tahun ini.

GT Asia adalah satu perlumbaan kesinambungan daripada Kejuaraan GT China yang memutuskan untuk memasuki peringkat saingan antarabangsa.

Buat masa ini, perlumbaan di Sepang  adalah satu-satunya pusingan yang berlangsung di luar China.

Saingan bakal menyaksikan peserta beraksi dalam kelas GT3 dan GT4 dengan acara disokong oleh pemandu Malaysia dan bakal beraksi dalam saingan Malaysia Speed Festival (MSF).

Jumlah hadiah untuk saingan GT Asia (bagi satu musim) tahun depan adalah RM5.45 juta.

Festival GT Asia adalah satu inisiatif kerjasama antara Country Heights dan Goldenport Enterprise dari China dengan kedua-dua pihak menandatangani persetujuan lima tahun.

Pengerusi Country Heights, Tan Sri Lee Kim Yew berkata, acara yang bakal dianjurkan dalam suasana mesra keluarga itu bakal membantu mengisi kekosongan ruang di Sepang selepas ketiadaan F1 di Malaysia.

"GT Racing di Sepang sebenarnya akan menjadi lebih menarik daripada F1, yang keretanya semuanya hampir sama," kata Kim Yew dalam satu sidang media di sini.

"Saya percaya acara ini akan menarik perhatian ramai biarpun pada tahun pertamanya. Tarikannya bukan saja di trek tetapi juga acara sampingan yang kami akan anjurkan."

Pengarah Eksekutif Country Heights, Matahari Lee berkata, acara ini juga akan menjadi tarikan terbaru kepada orang ramai untuk menyaksikan pelbagai jenis perlumbaan permotoran.

"Menerusi Festival GT Asia ini, kami mahu mendedahkan rakyat Malaysia kepada jenis perlumbaan sukan permotoran empat roda yang berlainan selain membuka peluang buat pemandu Malaysia menjadi sebahagian daripada acara antarabangsa ini," kata Matahari.

"Terdapat pelbagai aktiviti sampingan di sini nanti. Ini termasuk persembahan daripada jenama automotif dan juga kelab kereta, 'food truck' dan juga 'simulator' perlumbaan, jadi ia bukan saja untuk yang meminati aksi perlumbaan tetapi juga sesuai untuk keseluruhan keluarga."

Penganjur menjangkakan lebih kurang 10,000 pengunjung akan menghadiri festival yang berlangsung tiga hari itu. 

Berita Harian X