Selasa, 29 Januari 2019 | 7:35pm
NABIL Jeffri kecewa apabila penyertaannya bersama Jazeman Jaafar dan Weiron Tan pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) bagi musim 2018-19 tidak disambung meskipun saingan masih berbaki tiga pusingan. - Foto NSTP
NABIL Jeffri kecewa apabila penyertaannya bersama Jazeman Jaafar dan Weiron Tan pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) bagi musim 2018-19 tidak disambung meskipun saingan masih berbaki tiga pusingan. - Foto NSTP

Tiada lagi trio negara di WEC

KUALA LUMPUR: Pemandu negara, Nabil Jeffri kecewa apabila penyertaannya bersama Jazeman Jaafar dan Weiron Tan pada Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) bagi musim 2018-19 tidak disambung meskipun saingan masih berbaki tiga pusingan.

Trio negara yang mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing dan menggunakan jentera bernombor 37 itu ketika ini berada di tangga ketiga keseluruhan dengan 15 mata dalam kelas LMP2 tatkala mereka hanya dipisahkan tiga mata daripada penghuni tangga kedua dari pasukan Signatech Alpine Matmut.

Jentera bernombor 38 Jackie Chan DC Racing yang dipandu Ho-Pin Tung, Stephane Richelmi dan Gabriel Aubry pula mendahului dengan kelebihan 10 mata berbanding trio negara itu dan bagi Nabil, mereka sepatutnya diberikan ruang untuk menamatkan musim sebelum keputusan dibuat.

“Nabil pun terkejut juga tapi perkara ini sudah lama saya tahu, dalam dua bulan lalu,” katanya ketika menjelaskan mengenai penamatan penyertaan mereka pada kejuaraan berprestij itu selepas pasukan dilaporkan tidak lagi menggunakan khidmat tiga pelumba negara atas sebab isu komersial ‘di luar kawalan pemandu’ oleh media antarabangsa.

Tiga pemandu itu diberikan ruang menyertai WEC oleh Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada April lalu dan mereka pernah memenangi perlumbaan di Perlumbaan Enam Jam Fuji, Oktober lalu.

Selain itu, gabungan 100 peratus ‘anak Malaysia’ ini juga pernah berada di penamat kedua di Litar Silverstone pada Ogos dan keempat di Le Mans, Shanghai dan Spa-Francorchamps.

“Hanya tinggal tiga perlumbaan saja lagi... bermula Mac ini hingga Jun depan dan selepas itu musim berakhir. Sepatutnya, habiskanlah musim ini.

“Kalau kami berada di kedudukan yang bawah, itu mungkin cerita lain tapi kami mencipta keputusan (yang baik). Kecewa kerana saya mengharapkan dapat menamatkan musim ini,” kata Nabil.

Berita Harian X