Rabu, 6 Februari 2019 | 11:50pm
JAZEMAN (kiri) memenangi anugerah Pelumba Terbaik (empat roda) Anugerah Sukan Permotoran SIC-MAM 2016. - Foto Rohanis Shukri

Jazeman letak syarat

KUALA LUMPUR: Biarpun dengan berat hati terpaksa melupakan perlumbaan siri Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) yang berbaki tiga pusingan lagi, pemandu negara, Jazeman Jaafar bakal mengumumkan perancangan barunya pada bulan hadapan.

Begitupun, ia dengan bersyarat iaitu perlumbaan berkenaan turut perlu berlangsung di Malaysia.

"Alhamdulillah berdasarkan keputusan yang diperoleh pada tahun lalu, saya ada memperoleh beberapa tawaran dan ada yang dalam perbincangan.

"Saya tak mahu terburu-buru dalam memilih tetapi saya nak salah satu perlumbaan nanti mestilah di Malaysia. Tak ada gunanya saya berlumba jika tak dapat berlumba di sini," katanya.

Jazeman bersama Nabil Jeffri dan Weiron Tan mewakili pasukan Jackie Chan DC Racing berada di tempat ketiga keseluruhan di saingan WEC sebelum penyertaan mereka ditamatkan sebelum musim perlumbaan berakhir.

"Saya perlu kembali lebih kuat seperti yang mana dilakukan Hafizh Syahrin (Abdullah, penunggang MotoGP). Kisah Hafizh adalah bagus buat pemandu empat roda di mana kami boleh lakukan juga," katanya.

Mengenai kekecewaannya tentang apabila tidak meneruskan aksi WEC, Jazeman berkata perkara itu mungkin berlaku disebabkan kurangnya minat orang ramai terhadap sukan permotoran empat roda.

"Jika sukan ini tak dibangunkan, bagaimana minat (dikalangan orang ramai) itu mahu dibangunkan?. Hala tuju selepas Formula Satu (F1) tidak dianjurkan lagi misalnya, takkanlah minat terhadap F1 terus habis. 

“Saya lihat pembangunan GT (Grand Touring) dan go-kart di luar semakin lama semakin besar," katanya.  

Berita Harian X