Selasa, 19 March 2019 | 6:54pm
GAMBAR fail, pelumba PETRONAS Yamaha Maju Motor, Ahmad Fazli Sham meraikan kejayaannya menjuarai CP130 pada pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS di Stadium Negeri Batu Kawan, Pulau Pinang. - Foto Amir Irsyad Omar/Nur Adibah Ahmad Izam

Cabaran baharu Fazli Sham

 

KUALA LUMPUR: Ahmad Fazli Sham memiliki hampir 20 tahun pengalaman dalam Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS namun musim ini, sudah tiba masa untuknya menceburi karier baharu bersama ONEXOX TKKR SAG Team pada kempen pembuka tirai di Jasin, Melaka 23 dan 24 Mac ini. 

Fazli bakal menggalas tugas baharu selaku jurulatih pelumba muda bersama jurulatih utama pasukan, Rosnizam Mohd Noor atau lebih dikenali sebagai 'Obert' selain membantu tugas kejuruteraan dan teknikal ketika perlumbaan. 

“Saya rasa kini sudah tiba masanya untuk saya mengundurkan diri dari arena Kejuaraan Cub Prix selepas berbelas tahun beraksi," katanya yang berusia 37 tahun.  

"Kalau diikutkan memang saya mahu lagi berlumba tetapi saya perlu akur kudrat saya tidak seperti dahulu, ditambah pula untuk bersaing dengan pelumba muda lebih agresif dan bertenaga.

“Namun saya gembira dengan tanggungjawab diberikan pasukan kepada saya. Saya akan mencurahkan pengalaman saya bersama Obert untuk membimbing barisan pelumba muda dan berharap gandingan kami dapat melahirkan juara untuk pasukan ini.”

Juara Expert 2007 dan 2008 itu bagaimanapun akan terus mewakili pasukan di pentas Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) dalam kelas Underbone 150cc.

Fazli memulakan karier seawal 2001 sebagai pelumba persendirian sebelum dilamar pasukan Maju Motor pada 2003. 

Sepanjang kariernya, Fazli hanya pernah berpindah ke pasukan Fastrac Racing pada 2011 sebelum kembali ke pangkuan Maju Motor tahun berikutnya.

Untuk cabaran 2018, Fazli dilamar TKKR dan menamatkan saingan di tangga ke-16 keseluruhan.

“Banyak kejayaan sudah dicapai sepanjang pembabitan saya di dalam Kejuaraan Cub Prix. Saya juga adalah antara pelumba yang sempat bersaing dengan semua generasi pelumba sepanjang 25 tahun penganjuran Cub Prix. 

"Sudah tiba masanya untuk saya mencurahkan pengalaman yang ada kepada generasi muda hari ini,” katanya.

Selain bergelar juara Expert pada 2007 dan 2008, Fazli pernah meraih gelaran keseluruhan dalam kelas Underbone 125cc (2 lejang) pada 2004 dan 2005. 

Dia juga pernah menyertai Program Wildcard Malaysia pada 2009 serta memegang rekod pelumba yang paling banyak memenangi perlumbaan kelas perdana Kejuaraan Cub Prix (Expert, CP130 dan CP150) dengan 21 kemenangan.

Berita Harian X