Khamis, 28 March 2019 | 7:43pm
Weiron Tan (kanan) bangga diumum pemandu Audi Sport musim 2019.

Weiron Tan diumum pemandu Audi Sport 2019

KUALA LUMPUR: Bakat besar dimiliki Weiron Tan dalam sukan permotoran empat roda terus diiktiraf dan kariernya kian berkembang apabila diumum sebagai seorang daripada empat pemandu di pentas Asia untuk Audi Sport bagi kempen 2019.

Ia secara tidak langsung bakal menyaksikan Weiron yang sebelum ini antara pencabar yang menempah nama dalam pelbagai platform perlumbaan termasuk single-seater, endurance dan GT - bakal menggalas cabaran di atas nama Audi Sport bersama beberapa pemandu ternama yang lain bagi musim ini.

Selain Weiron, Audi Sport turut membariskan pemandu hebat dari China, Cheng Congfu, Martin Rump (Estonia) dan juga bakat sedang menyinar dari China, David Chen bagi mengharungi musim 2019.

Buat permulaan, pelumba profesional negara itu diberi kepercayaan untuk mengemudi cabaran bersama Rump dan Congfu untuk menyertai kejuaraan Piala Audi Sport R8 LMS untuk musim ini.

Bagi Weiron, tanggungjawab yang diberikan ini adalah satu penghargaan besar buat dirinya.

"Saya sangat teruja untuk menjadi pemandu rasmi Audi Sport Asia!," kata Weiron.

"Ia satu mimpi yang menjadi kenyataan buat saya untuk memandu bagi sebuah syarikat pengeluar terutamanya Audi kerana mereka sentiasa menjadi jenama pilihan dalam keluarga saya, jadi ia menjadikan ia sesuatu yang lebih istimewa lagi.

"Saya sangat bersyukur atas peluang ini, terima kasih Audi Sport."

Weiron, 24, menikmati musim 2018 yang menarik apabila dirinya bersama rakan sepasukan senegara Jazeman Jaafar dan Nabil Jeffri mencipta sejarah tersendiri di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC).

Trio kebanggaan negara itu muncul selaku satu-satunya barisan lengkap pemandu Malaysia yang memenangi perlumbaan dalam siri perlumbaan WEC di saingan Enam Jam Fuji tahun lalu.

Berita Harian X