Sabtu, 30 March 2019 | 7:10pm
PELUMBA Absolute Racing, Weiron Tan.
PELUMBA Absolute Racing, Weiron Tan.

Weiron semangat hadapi Blancpain GT Dunia Asia

KUALA LUMPUR: Selepas kempen penuh epik di Kejuaraan Endurance Dunia (WEC) tahun lalu, Weiron Tan kini bakal memburu kejayaan cemerlang di Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia yang dijadual membuka tirainya bulan depan. 

Weiron bakal memandu kereta baharu Audi R8 LMS GT3 bersama pasukan Absolute Racing, bergandingan bersama rakan sepasukan dari Estonia, Martin Rump.

Bagi musim 2019, Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia menyajikan enam pusingan dengan Sirkit Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi tuan rumah untuk pusingan pembuka tirai pada 6 dan 7 April ini. 

Baru-baru ini, Weiron, 24, dipilih sebagai salah seorang daripada empat pemandu bagi mewakili Audi Sport Asia dan dia sudah bersedia untuk menyahut cabaran bagi musim 2019.

"Absolute Racing seperti keluarga dan saya gembira untuk berlumba bersama mereka sekali lagi pada tahun ini," kata Weiron.

Weiron yang menjangkakan saingan sengit bakal diterimanya pada tahun ini berkata: "Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia akan menjadi sangat kompetitif, saya amat menantikan untuk memulakan saingan musim ini!.

"Saya juga tidak sabar untuk melihat kelajuan jentera baharu Audi R8 LMS GT3 ini dan berharap dapat belajar, terus meningkat dan mempamerkan prestasi diharapkan.

“Terima kasih kepada Audi Sport dan Absolute Racing kerana menjadikan ia satu kenyataan!."

Pusingan kedua musim bagi Cabaran Blancpain GT Dunia Siri Asia dijadual berlangsung di Sirkit Antarabangsa Chang di Thailand pada 11 dan 12 Mei ini. 

Jepun bakal menjadi tuan rumah untuk pusingan ketiga dan keempat bermula di Sirkit Antarabangsa Suzuka pada 22 dan 23 Jun dan Fuji Speedway pada 6 dan 7 Julai. 

Sirkit Antarabangsa Korea akan menjadi tuan rumah seterusnya pada 3 dan 4 Ogos manakala kemuncak pusingan bakal berlangsung di Sirkit Antarabangsa Shanghai di China (27 dan 28 September). 

Pusingan di Fuji juga pastinya bakal mengimbau detik manis buat Weiron yang menyaksikan dia bersama rakan sepasukannya Nabil Jeffri dan Jazeman Jaafar memenangi perlumbaan di WEC, tahun lalu. 

Kemenangan dalam kelas LMP2 di Fuji menyaksikan mereka mencatat sejarah tersendiri, muncul selaku trio pemandu Malaysia pertama yang memenangi perlumbaan di WEC. 

Gandingan mereka juga pernah menamatkan perlumbaan di pentas podium ketika di Silverstone (kedua) dan keempat di Le Mans. 

Weiron juga bukanlah satu nama asing dalam perlumbaan GT dan pernah meraih tiga penamat di pentas podium dan juga dua petak hadapan untuk perlumbaan Kejuaraan GT China pada 2017. 

Berita Harian X