Ahad, 31 March 2019 | 7:51pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli semasa sesi percubaan Grand Prix Motul Republik Argentina, di Autodrome Antarabangsa Termas de Rio Hondo, Argentina, semalam. - Foto EPA

Morbidelli, Quartararo gembira kelayakan GP Argentina, fokus perlumbaan

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo akan memulakan saingan Grand Prix (GP) Argentina, awal pagi ini masing-masing di petak keenam dan ketujuh.

Morbidelli meraih kedudukan grid terbaiknya dalam saingan MotoGP musim ini apabila melakukan catatan keenam terpantas di Kelayakan 2 sementara Quartararo sedikit ‘tercicir’ di belakang apabila bakal memulakan saingan di petak ketujuh.

Dua pelumba itu mara secara automatik ke Kelayakan 2 selepas meraih catatan terbaik pada sesi latihan bebas (FP) yang menyaksikan Morbidelli berada pada kedudukan keenam pada FP3 (1 minit 38.982 saat) sementara Quartararo bergelut dengan catatan 1:39.202 untuk kedudukan ke-10.

Selepas FP4 pada sebelah petang, Morbidelli mencatat 1:38.886 untuk kedudukan keenam pada litar yang pernah dimenanginya ketika beraksi dalam saingan Moto2 musim 2017 manakala Quartararo mengekalkan kelajuan yang ditunjukkan pada perlumbaan di Qatar sebelum ini.

“Saya gembira dengan prestasi hari ini (semalam). Ini sesi kelayakan yang hebat buat kami,” kata Morbidelli.

“Kami fokus sepenuhnya pada tunggangan dan berusaha keras sepanjang minggu ini. Saya melakukan sedikit kesilapan namun kita perlu memilih tayar yang tepat untuk perlumbaan esok (hari ini).

“Perlumbaan esok (hari ini) mungkin akan menyaksikan kelompok yang besar dan kami boleh terus menghambat kelompok hadapan dan ini yang kami perlu lakukan sehingga hujung perlumbaan,” katanya.

Sementara itu, pelumba Moto2 bagi PETRONAS Sprinta Racing, Khairul Idham Pawi bakal memulakan perlumbaan di barisan kesembilan selepas menamatkan kelayakan di kedudukan ke-25.

Meskipun tidak mara secara automatik ke Kelayakan 2, namun Khairul Idham menamatkan FP3 pada kedudukan ke-24 dengan catatan 1:43.825 pada sesi sebelah pagi sebelum sesi petang menyaksikan pelumba dari Malaysia itu menyempurnakan lapan pusingan Kelayakan 1 dengan catatan sepusingan terbaiknya adalah 1:44.037s. 

“Kami cuba memperbaiki catatan sepusingan dan pergi lebih pantas pada FP3. Kami ada sedikit masalah teknikal yang menyekat kami daripada memberikan sebaik mungkin namun ia dapat diperbaiki sebelum kelayakan.

“Kami akan bermula daripada belakang namun kita perlu fokus untuk cuba mengutip mata dan mengharungi perlumbaan yang baik,” katanya.

Bagi perlumbaan Moto3, dua wakil PETRONAS Sprinta Racing, Ayumi Sasaki dari Jepun akan bermula dari petak kesembilan selepas mencatat masa 1:49.309s manakala rakan sepasukannya dari Britain, John Mcphee mencatat 1:49.459s untuk bermula dari petak ke-11. 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X