Khamis, 4 April 2019 | 11:13pm
Pelumba go-kart negara, Amer Harris Jefry. - Ihsan DRM Motosport
Pelumba go-kart negara, Amer Harris Jefry. - Ihsan DRM Motosport
Pelumba go-kart negara, Amer Harris Jefry. - Ihsan DRM Motosport
Pelumba go-kart negara, Amer Harris Jefry. - Ihsan DRM Motosport

Amer tagih sokongan KBS berlumba di Eropah

KUALA LUMPUR: Deretan kejayaan yang dicipta di peringkat Asia bagaikan tidak bermakna buat pelumba go-kart profesional negara, Amer Harris Jefry jika sukan itu tidak mendapat sokongan daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Amer berkata meskipun bergerak secara profesional, namun dia menaruh harapan tinggi supaya Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dapat memberikan bantuan selain menilai pencapaiannya sebagai atlet kebangsaan.

Selain itu, Amer juga menaruh harapan tinggi agar badan korporat ataupun syarikat swasta dapat membantunya melaksanakan impiannya berlumba secara profesional di Kejohanan Eropah, tahun ini sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Saya harap pihak KBS dapat membantu, memberikan sokongan dan perhatian, termasuklah dari sudut kewangan. Ini kerana apabila dapat menaiki podium saya juga dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

"Saya sudah dapat dua kali peluang iaitu pada 2017 dan 2018, namun tidak dapat merealisasikannya kerana masalah kewangan. 

“Pentingnya perlumbaan di Eropah kerana ia adalah tahap paling tinggi buat pelumba go-kart seperti saya," kata Amer, yang mula berjinak dengan permotoran go-kart pada usia 11 tahun, kepada BH Sukan.

Amer yang mewakili DRM Motorsport bergelar juara kategori senior pusingan pertama IAME Asia Series 2019 (Siri Asia IAME 2019) yang berlangsung di Clark International Speedway, Filipina pada 23 dan 24 Mac lalu.

Dia kini menghuni tangga teratas kedudukan keseluruhan meninggalkan dua pencabar utama dari Hong Kong, Royce Yu dan Dick Yu.

Pusingan kedua dan ketiga IAME akan berlangsung di Thailand, masing-masing pada 11&12 Mei serta 25&26 Mei. Pusingan keempat, kelima dan keenam akan berlangsung di Malaysia bermula pada Julai hingga September depan.

Tahun lalu dalam kejohanan IAME Asia Final di Thailand kelas senior, Amer memberi saingan sengit dan menyingkirkan dua nama bekas juara dunia, Tom Joyner dan Hannes Janker apabila dia dinobatkan sebagai naib juara.

Amer juga adalah juara juara keseluruhan musim 2018 Rotax Asia Max Challenge dan mendapat tiket ke Grand Final dunia di Brazil pada 2018. 

Bagaimanapun disebabkan masalah kewangan, hasrat untuk berlumba di Brazil tidak kesampaian.

Go-kart adalah salah satu landasan untuk pemandu melonjak ke tahap tertinggi dan berprestij seperti perlumbaan Formula Satu (F1). 

Antara pelumba F1 yang pernah berjinak-jinak dengan sukan ini adalah Michael Schumacher dan Sebastian Vettel dari Jerman serta Lewis Hamilton (United Kingdom).

Berita Harian X