Rabu, 1 Mei 2019 | 1:09pm
LITAR Monza. - Foto Reuters
LITAR Monza. - Foto Reuters

Monza dijangka kekal anjur F1 hingga 2024

LONDON: Grand Prix Itali di Monza, yang juga litar perlumbaan Ferrari, bakal kekal dalam kalendar perlumbaan Formula Satu (F1) sehingga sekurang-kurangnya 2024 selepas Kelab Permotoran Itali (ACI) dan F1 menyatakan persetujuan secara asas.

ACI berkata presidennya, Angelo Sticchi Damiani diberi mandat untuk meneruskan perbincangan mengenai aspek teknikal dan komersial serta berhasrat menandatangani perjanjian secepat mungkin.

Monza adalah antara lima litar yang bakal membaharui kontrak selepas musim ini termasuklah Sepanyol, Britain, Jerman dan Mexico.

Litar Silverstone di Britain, yang menganjurkan kejuaraan dunia GP pertama pada 1950, bagaimanapun menafikan perjanjian sudah dilakukan bagi perlumbaan akan datang pada Jumaat lalu.

"Malang sekali ada berita yang tak berasas disebarkan pagi ini terhadap perjanjian baru bagi GP Britain di Silverstone," kata pengurusan litar itu di Twitter.

"Pada masa ini kami boleh mengesahkan yang kami belum lagi bersetuju dengan kontrak, bagaimanapun perbincangan masih berjalan."

Britain dan Itali adalah dua negara yang menganjurkan perlumbaan itu pada setiap tahun.

Vietnam bakal membuat penampilan sulung pada musim hadapan dengan perlumbaan di Hanoi sementara Zandvoort di Belanda dikatakan akan membuat kemunculan semula sejak tahun 1985. - Reuters

Berita Harian X