Sabtu, 4 Mei 2019 | 10:47pm
DUA pelumba Petronas Yamaha SRT, Fabio Quartararo (kanan) meraikan kejayaan meraih petak 1-2 bersama rakan Franco Morbidelli di GP Jerez. - Foto AFP

PETRONAS Yamaha SRT sambar petak 1-2 di Jerez

KUALA LUMPUR: Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo mencipta sejarah tersendiri di Grand Prix (GP) Sepanyol dengan menjadi pelumba termuda menyambar petak hadapan perlumbaan kelas MotoGP pada usia 20 tahun dan 14 hari. 

Quartararo yang menyambut ulang tahun ke-20 pada 20 April lalu menyambar petak utama perlumbaan dengan catatan sepusingan terpantas 1 minit 36.880 saat pada sesi kelayakan kedua (Q2) yang juga catatan rekod baharu terpantas di Sirkit Jerez, hari ini.

Malah catatan dilakukan pelumba dari Perancis itu juga meletakkan dirinya selaku pelumba muka baharu (rookie) dalam kelas perdana yang mampu menyambar petak hadapan selepas dilakukan Johann Zarco di Assen pada 2017.

"Saya tak pernah terfikir untuk berada di petak pertama hari ini," kata Quartararo atau dikenali sebagai 'El Diablo'yang kali pertama menyambar petak hadapan ketika menyertai kelas Moto3 pada tahun 2015.

"Amat menakjubkan... yang pertama dalam (kelas) MotoGP. Ini adalah hasil usaha keras daripada pasukan dan saya berterima kasih kepada mereka."

Rakan sepasukannya dari Itali, Franco Morbidelli bakal bermula dari petak kedua dengan hanya dibezakan 0.082s daripada catatan dilakukan Quartararo tatkala petak 1-2 itu juga adalah sejarah sulung buat pasukan PETRONAS Yamaha SRT yang baharu menyertai saingan kelas perdana itu musim ini. 

Juara bertahan yang juga juara lima kali MotoGP daripada pasukan Repsol Honda, Marc Marquez melengkapkan barisan hadapan dengan catatan 1'36.970s. 

Berada di barisan kedua adalah pelumba Mission Winnow Ducati, Andrea Dovizioso (1'37.018s); pelumba Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales dan Cal Cruthlow dari pasukan LCR Honda Castrol yang mencatat 1'37.175s.

 

 

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X