Ahad, 12 Mei 2019 | 11:56pm
Pemandu Mercedes, Lewis Hamilton (dua dari kanan) menang Grand Prix Sepanyol di Circuit de Catalunya, hari ini. Valtteri Bottas (kiri) di tempat kedua, manakala pemandu jentera Red Bull, Max Verstappen (kanan) raih tempat ketiga. - Foto AFP

Mercedes tawan GP Sepanyol

BARCELONA: Lewis Hamilton menewaskan Valtteri Bottas dalam pertarungan di Grand Prix Sepanyol sebentar tadi untuk memintas rakan sepasukannya sebagai peneraju kejuaraan Formula Satu (F1) musim ini.

Malah, menjadikan lebih istimewa ia adalah penamat 1-2 kelima Mercedes pada kempen 2019.

Juara lima kali dunia itu yang bermula dari petak kedua terus memintas Bottas pada selekoh pertama dan kekal menguasai perlumbaan sehingga ke garisan penamat di Circuit de Catalunya.

Ia adalah kemenangan ketiga jaguh Britain itu pada tahun ini dan yang ke-76 sepanjang kariernya serta yang keempat di Sepanyol susulan kemenangan 2014, 2017 dan 2018.

Lewis Hamilton (kanan) menewaskan Valtteri Bottas dalam pertarungan di Grand Prix Sepanyol, hari ini. - Foto AFP
Lewis Hamilton (kanan) menewaskan Valtteri Bottas dalam pertarungan di Grand Prix Sepanyol, hari ini. - Foto AFP

Hamilton tiba ke garisan penamat 4.074 saat (s) di depan rakan sepasukan dari Finland itu yang akur di kedudukan kedua dengan Max Verstappen dari Red Bull ketiga.

Juara empat kali dunia, Sebastian Vettel dan rakan sepasukan dari Ferrari, Charles Leclerc masing-masing menamatkan aksi di kedudukan keempat dan kelima.

Kejayaan Hamilton melonjakkan dia semula ke persada kedudukan dengan 112 mata, termasuk mata tambahan atas pencapaian sepusingan terpantas, di depan Bottas dengan 105 mata.

“Saya perlu berterima kasih kepada pasukan yang hebat ini,” kata Hamilton. “Ini adalah sejarah untuk meraih penamat 1-2 kelima musim ini. Saya amat bangga dengannya.” – AFP

Berita Harian X