Isnin, 27 Mei 2019 | 10:11pm
AMER Harris Jefry memenangi Perlumbaan Pusingan 3 Piala IAME Asia 2019 dengan dramatik di trek Bira Kart, Pattaya, Thailand.
AMER Harris Jefry memenangi Perlumbaan Pusingan 3 Piala IAME Asia 2019 dengan dramatik di trek Bira Kart, Pattaya, Thailand.

Cedera tak halang Amer rangkul Piala IAME Asia

KUALA LUMPUR: Cekal. Itu yang boleh digambarkan pelumba muda sedang meningkat, Amer Harris Jefry yang terpaksa bergelut dengan kecederaan kaki kiri sebelum memenangi Perlumbaan Pusingan 3 Piala IAME Asia 2019 dengan dramatik di trek Bira Kart, Pattaya, Thailand, kelmarin.

Amer, 16, yang pernah merangkul gelaran juara Asia di Cabaran Rotax Max Asia 2018 itu mengalami detik ngeri pada sesi Heat 1 pada Sabtu lalu, terbabas ketika sedang berada dalam kelajuan tinggi di sebuah selekoh hingga menyebabkan dirinya dikejarkan ke hospital.

Tuah memihak kepada Amer apabila disahkan tidak mengalami kecederaan serius. Namun kaki kirinya masih mengalami rasa sakit yang tidak mengizinkannya untuk berjalan seperti biasa.

Begitupun bapa Amer, Jefry Talib berkata pada keesokan harinya, anak yang bersama pasukan DRM Racing Team itu tetap ingin menyertai perlumbaan dan siapa sangka kecekalan dipamerkan Amer membuahkan hasil diinginkan.

"Dalam sakit dia tetap mahu berlumba," kata bapanya, Jefry. "Jadi disebabkan kami tidak menyertai Heat 1 dan Heat 2, maka pada pra final pada Ahad, dia kena bermula dari petak paling belakang iaitu di kedudukan 20 lebih.

"Bila pra final, dia mahu juga berlumba. Saya urut sedikit dan dia cuba berlumba. Alhamdulillah dapat nombor sembilan selepas bermula daripada belakang. Selepas itu final, jadi dia bermula dari petak kesembilan dan akhirnya meraih penamat nombor satu biarpun dalam keadaan kakinya yang masih sakit."

Selepas tiga pusingan musim ini, Amer yang mula menjinakkan diri dalam sukan permotoran empat roda pada usia sembilan tahun itu ketika ini mendahului carta kategori senior dengan 121 mata keseluruhan.

Pusingan keempat dijadual berlangsung di Litar Kart Antarabangsa Sepang pada 6 dan 7 Julai ini sebelum Pulau Langkawi menjadi destinasi seterusnya, 3 dan 4 Ogos.

Berita Harian X