Isnin, 3 Jun 2019 | 9:05am
Penunggang Ducati, Danilo Petrucci meraikan kejayaan di atas podium apabila memenangi kejuaraan GP Itali, malam tadi. - Foto REUTERS

Petrucci gegar laman sendiri

 

MUGELLO: Danilo Petrucci yang menunggang Ducati, menggegar laman sendiri apabila menewaskan juara dunia, Marc Marquez untuk memenangi kejuaraan pertama MotoGP sepanjang kariernya pada Grand Prix (GP) Itali, malam tadi.

Walaupun sekadar tempat kedua, ia tetap membantu pelumba Sepanyol, Marquez untuk menjarakkan kedudukan sebagai pendahulu kejuaraan dunia daripada seorang lagi pelumba tempatan, Andrea Dovizioso, yang menamatkan saingan di tempat ketiga selepas pertarungan sengit tiga penjuru.

Marquez yang juga juara lima kali MotoGP dan menunggang Honda, mendahului pada pusingan terakhir tetapi berjaya dipintas Petrucci untuk memenangi perlumbaan itu.

"Ia menakjubkan, saya teruja," kata Petrucci, 28, yang menamatkan saingan kejuaraan dunia di tempat kelapan pada 2017 dan 2018.

"Di depan penyokong sendiri dan bandar saya, ia memang luar biasa dan sukar untuk gambarkan perasaan saya.

"Saya capai sasaran untuk memenangi perlumbaan musim ini, dan sekarang kami perlu menang kejuaraan bersama Ducati."

Marquez - yang juga pemenang tiga daripada enam perlumbaan musim ini - memulakan perlumbaan di petak depan tetapi dicabar hebat sejak awal perlumbaan oleh pelumba Ducati dan Alex Rins yang menunggang Suzuki.

Keempat-empat pelumba itu beberapa kali memotong antara satu sama lain tetapi Petrucci memecut pada pusingan terakhir di litar Mugello untuk memenangi perlumbaan.

Marquez, yang hanya pernah sekali memenangi kategori MotoGP di litar utara Florence itu, mendahului Dovizioso dengan 12 mata selepas enam pusingan musim ini.

"Selepas gagal memulakan perlumbaan dengan baik, saya bercakap kepada diri saya ‘hari ini bukan hari saya’ dan saya tetap gembira dengan 20 mata yang dikutip,” kata Marquez. - AFP

Keputusan

MotoGP

1. Danilo Petrucci (ITA/Ducati)  41 minit 33 saat (23 pusingan)

2. Marc Marquez (ESP/Honda) +0.043s

3. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) +0.338s

4. Alex Rins (ESP/Suzuki) +0.535s

5. Takaaki Nagakami (Honda-LCR) +6.535s

6. Maverick Vinales (ESP/Yamaha) +7.481s

7. Michele Pirro (ITA/Ducati) +13.288s

8. Cal Crutchlow (GBR/Honda-LCR) +13.937s

9. Pol Espargaro (ESP/KTM) +16.533s

10. Fabio Quartararo (FRA/Yamaha-SRT) +17.994

Berita Harian X