Sabtu, 15 Jun 2019 | 9:55pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo. - Foto AFP
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing, Fabio Quartararo. - Foto AFP

Quartararo sambar petak depan GP Catalunya

 

KUALA LUMPUR: Fabio Quartararo membuktikan betapa kekuatan mental menjadi aspek penting dalam sesuatu perlumbaan. 

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT) itu baru saja menjalani pembedahan bagi merawat isu yang dialami di bahagian lengan kanannya minggu lalu dan meskipun disahkan cergas untuk beraksi di Grand Prix (GP) Catalunya minggu ini, Quartararo mengakui masih merasai sedikit kesakitan. 

Bagaimanapun, pelumba dari Perancis itu mampu mengawal rasa sakit berkenaan dengan menyambar petak utama kali kedua musim ini di Sirkit Barcelona-Catalunya selain muncul terpantas untuk beberapa sesi latihan bebas MotoGP sejak kelmarin. 

Kali pertama Quartararo meraih petak utama perlumbaan adalah di GP Sepanyol, awal Mei lalu namun tidak menamatkan perlumbaan selepas berdepan masalah mekanikal ketika saingan berbaki 11 pusingan. 

Pelumba yang dikenali sebagai 'El Diablo' itu meraih petak utama untuk perlumbaan esok apabila melakukan catatan sepusingan terpantas 1 minit 39.484 saat di trek yang menyaksikan dirinya meraih kemenangan pertamanya dalam karier Moto2, tahun lalu. 

"Saya tidak tahu bagaimana lengan saya akan bertindak balas selepas pembedahan dilakukan," kata Quartararo yang juga pendahulu carta muka baharu (rookie) MotoGP dengan 31 mata. 

"Pada pertama kali beraksi di trek ini (kelmarin), ia boleh dikatakan sukar tetapi selepas beberapa lama, semuanya berlangsung dengan lebih baik. Ia mempunyai kaitan bagaimana untuk membiasakan diri dengan kesakitan itu tetapi saya tidak jangka dapat melakukan yang terbaik di grand prix ini." 

Quartararo ketika ini mempunyai kelebihan 19 mata daripada penghuni tangga kedua carta rookie terbaik dari Sepanyol, Joan Mir. 

Francesco Bagnaia dari pasukan Pramac Racing berada di tempat ketiga dengan sembilan mata manakala Miguel Oliveira (Red Bull KTM Tech3) keempat dengan lapan mata. 

Untuk rekod di sepanjang enam pusingan musim ini, penamat terbaik Quartararo adalah ketujuh di GP Amerika Syarikat.

Sementara itu, rakan sepasukannya, Franco Morbidelli bakal memulakan perlumbaan dari petak keempat selepas mencatat masa 1'39.711s pada sesi kelayakan kedua.

 

 

Berita Harian X