Isnin, 1 Julai 2019 | 10:21pm
Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT), Fabio Quartararo. - Foto BERNAMA

2 penamat podium tambah keyakinan Quartararo

 

KUALA LUMPUR: Fabio Quartararo mengimbau kenangan zaman kecilnya menyaksikan pelumba di kelompok hadapan bersaing memburu kemenangan di Kejuaraan Motosikal Dunia dan ketika ini dia sudah merealisasikan impiannya dengan dua penamat di podium. 

Semalam, pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing (PETRONAS Yamaha SRT) itu meraih penamat ketiga di Grand Prix (GP) Belanda selepas dua minggu lalu berada di tempat kedua GP Catalunya.

Malah Quartararo juga memulakan kedua-dua perlumbaan berkenaan dari petak utama meskipun masih merasai sakit di bahagian tangan kanannya selepas menjalani pembedahan, hampir sebulan lalu. 

"Mendahului perlumbaan adalah detik paling menarik dalam hidup saya," kata Quartararo yang kini sudah mengumpul 67 mata untuk berada di tangga keenam keseluruhan carta pelumba MotoGP. 

"Ketika saya kanak-kanak, saya menyaksikan perlumbaan sebegini dan hari ini saya mampu mendahului perlumbaan. Ketika saya dipintas sewaktu mendahului saingan, saya tahu saya tidak boleh melakukan apa-apa disebabkan masalah tangan saya. 

"Kelompok pesaing berada jauh di belakang, jadi saya memilih untuk mengawal jarak dan memastikan tempat di podium. Masalah tangan banyak menganggu rentak saya kerana terdapat beberapa laluan tidak rata dan juga angin yang membuatkan motosikal bergerak dengan banyak. 

"Bagaimanapun, kami meraih satu lagi penamat di podium selepas meraih petak utama untuk perlumbaan, jadi saya gembira. Sasaran di Qatar (pembuka tirai musim 2019) adalah untuk secara kerap berada dalam kelompok 10 terbaik pada musim ini tetapi secara sedikit demi sedikit, kami semakin mempertingkatkan sasaran kami."

Selepas lapan pusingan musim, pelumba berusia 20 tahun yang dikenali sebagai 'El Diablo' itu kekal mendahului carta pelumba muka baharu (rookie) MotoGP dengan kelebihan 37 mata daripada pencabarnya di tangga kedua, Joan Mir dari pasukan Team SUZUKI ECSTAR.

Seorang lagi pelumba PETRONAS Yamaha SRT, Franco Morbidelli juga menamatkan saingan di Sirkit Assen yang dimenangi Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP) dengan berada dalam kelompok lima terbaik.

Pelumba Itali itu melengkapkan 26 pusingan perlumbaan dengan catatan 41 minit 09.882 saat untuk berada di tempat kelima, 0.320s di belakang pelumba Ducati, Andrea Dovizioso. 

"Keputusan ini menyamai penamat terbaik saya setakat ini, jadi saya sangat gembira," katanya yang pernah menamatkan saingan di tempat sama di GP Amerika Syarikat, April lalu. 

"Satu perlumbaan yang sengit kerana saya memulakan saingan dengan merasakan seperti tidak mempunyai kelajuan mencukupi untuk kekal di kelompok depan. Namun pada penghujung saingan saya dapat merasakan peningkatan dan mampu menunggang lebih laju daripada pelumba di depan saya. 

"Saya mampu mendapat beberapa posisi dan menamatkan saingan di tempat kelima. Saya amat gembira dengan keputusan ini, terima kasih kepada pasukan dan juga krew."

Saingan selepas ini dijadual berlangsung di litar Sachsenring, Jerman hujung minggu ini.

Berita Harian X