Ahad, 7 Julai 2019 | 10:15pm
MARC Marquez melebarkan lagi penguasaan dalam kedudukan keseluruhan selepas mengungguli Grand Prix (GP) Jerman buat kali ketujuh berturut-turut, sebentar tadi. - Foto AFP

Marquez kuasai GP Jerman

SACHSENRING, Jerman: Pelumba Honda Marc Marquez melebarkan lagi penguasaan dalam kedudukan keseluruhan selepas mengungguli Grand Prix (GP) Jerman buat kali ketujuh berturut-turut, sebentar tadi.

Pelumba berusia 26 tahun dari Sepanyol itu melengkapkan kejayaan berganda selepas adiknya, Alex memenangi perlumbaan Moto2 di litar sama.

Dia mendahului dari awal perlumbaan dan melintasi garisan penamat empat saat lebih pantas berbanding pelumba Yamaha, Maverick Vinales dan seorang lagi pelumba Honda, Cal Crutchlow.

"Perancangan saya menjadi, saya menikmati perlumbaan selepas berada pada kedudukan pertama," kata Marquez.

"Kemudian saya memikirkan mengenai adik saya. Saya gembira dengan kemenangan ini dan ini bagus rasanya mengharungi cuti musim panas dalam keadaan sebegini."

Marquez memperagakan dominasi menakjubkan selepas memenangi 10 perlumbaan di Sachsenring.

Kemenangan pertamanya dilakar pada tahun 2010 menerusi perlumbaan 125cc diikuti kemenangan pada 2011 dan 2012 dalam kelas Moto2.

Dia kemudiannya memenangi semua GP yang berlangsung di Jerman sejak tahun 2013.

Ini adalah kemenangan kelima Marquez dalam sembilan perlumbaan bagi musim ini sekali gus meletakkan dia dalam keadaan terbaik untuk merangkul kejuaraan MotoGP buat kali keenam.

Dia menghimpun 185 mata setakat ini, berkelebihan 69 mata di depan Andrea Dovizioso. – AFP

Berita Harian X