Sabtu, 3 Ogos 2019 | 10:14am
FABIO Quartararo

Quartararo laung amaran awal di Brno

BRNO, Republik Czech: Pelumba Perancis, Fabio Quartararo merakam masa terpantas sesi latihan menjelang GP Czech MotoGP semalam sekali gus menandakan kecergasannya selepas menjalani pembedahan yang dilakukan awal musim ini.

Quartararo, 20, yang sudah merakam tiga permulaan petak depan dan dua podium pada musim pertamanya berlumba dalam MotoGP, pada awalnya merakam masa ke-18 terbaik di sebelah pagi.

Bagaimanapun dia bangkit mencatat 1 minit 55.802 saat di sebelah petang sekali gus mendahului Marc Marquez dengan kelebihan 0.023 saat.

"Saya hampir 100 peratus cergas dan tidak ada masalah dengan lengan saya. Saya tidak rasa kesakitan lagi dan saya menikmati kedua-dua sesi latihan dengan baik,” kata Quartararo.

"Saya sasarkan petak utama esok dan semua pun tahu sirkit Brno sukar untuk pelumba memotong.”

Brno kembali sebagai tuan rumah ke-10 musim ini dan yang pertama bulan ini tatkala juara dunia lima kali, Marquez kekal mendahului lawan dengan kelebihan 58 mata di depan Andrea Dovizioso yang mencatat masa terpantas sesi latihan pagi.

Pelumba Itali itu merakam 1 min 56.919 saat namun dipintas rakan sepasukan Ducati, Jack Miller yang merakam masa ketiga terpantas di sebelah petang.

Sesi latihan ketiga akan bermula  lewat petang ini. – AFP 

Catatan masa sesi latihan semalam:

1. Fabio Quartararo (FRA/Yamaha) 1:55.802s

2. Marc Marquez (ESP/Honda) 0.023s

3. Jack Miller (AUS/Ducati) 0.269s

4. Andrea Dovizioso (ITA/Ducati) 0.269s

5. Marc Vinales (ESP/Yamaha) 0.282s

6. Alex Rins (ESP/Suzuki) 0.423s

7. Franco Morbidelli (ITA/Yamaha) 0.617s

8. Cal Crutchlow (GBR/Honda) 0.641s

9. Valentino Rossi (ITA/Yamaha) 0.725s

10. Danilo Petrucci (ITA/Ducati) 0.791s

Berita Harian X