Khamis, 15 Ogos 2019 | 10:15pm
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah.

Perkembangan Hafizh diketahui di Silverstone

KUALA LUMPUR: Perubahan yang berlaku dalam Kejuaraan Motosikal Dunia ketika ini menyediakan ruang buat pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah untuk terus bersaing dalam perlumbaan berprestij itu.

Antara perubahan selepas pusingan ke-11 di Grand Prix (GP) Austria minggu lalu adalah KTM, dengan pengeluar itu membuat keputusan menarik diri daripada kelas pertengahan Moto2 dan memberi tumpuan kepada saingan MotoGP dan Moto3.

Perubahan itu memberi makna Tech3 juga tidak akan lagi beraksi dalam kelas berkenaan dan bakal memulakan projek baharu bersama KTM dalam saingan Moto3 tahun depan selain kekal selaku pasukan satelit pengeluar dari Austria itu dalam kelas MotoGP. 

Kejutan berterusan apabila pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Johann Zarco turut membuat keputusan untuk tidak lagi bersama pasukan pengeluar itu dalam kelas MotoGP tahun depan tatkala KTM melanjutkan pembabitan mereka dengan pemegang hak penganjuran kejuaraan, Dorna sehingga 2026. 

Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali berkata, beliau sedang menunggu keputusan atau cadangan daripada Tech3 terhadap pelumba pasukan berkenaan dalam kelas MotoGP, Hafizh Syahrin Abdullah biarpun wakil negara itu tidak disambung kontraknya musim depan.

"Banyak cerita dan perubahan dalam Kejuaraan Motosikal Dunia terutama KTM yang menarik diri daripada saingan Moto2 dan Zarco berpisah dengan KTM di (kelas) MotoGP.

"Saya menunggu keputusan atau apa-apa cadangan daripada Tech3 untuk Hafizh dan kita tengok pilihan lain yang ada untuk dia kekal di Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan... tak kisah di MotoGP ataupun Moto2. 

"InsyaAllah di Silverstone nanti, kita akan lebih tahu mengenai perkembangan dan kedudukan Hafizh," kata Razlan. 

Pusingan ke-12 dijadual berlangsung di GP British dari 23 hingga 25 Ogos ini.

Berita Harian X