Jumaat, 23 Ogos 2019 | 8:33pm
Gambar fail, pelumba Red Bull KTM Tech3, Hafizh Syahrin Abdullah di Grand Prix Belanda, minggu lalu.

Masih ada 'harapan' buat Hafizh di MotoGP

 

KUALA LUMPUR: Spekulasi mengenai masa depan Hafizh Syahrin Abdullah terus bertiup kencang di Grand Prix (GP) British minggu ini yang mengatakan pelumba negara itu masih mempunyai 'harapan' untuk kekal bersaing di kelas perdana MotoGP bersama pasukan Red Bull KTM Tech3. 

Keputusan pelumba pasukan pengeluar KTM, Red Bull KTM Factory Racing, Johann Zarco untuk menamatkan kontraknya lebih awal memberi ruang kosong dalam pasukan berkenaan dan rakan sepasukan Hafizh di pasukan Tech3, Miguel Oliveira pula dikatakan bakal menggantikan slot berkenaan.

Andai benar, ini meninggalkan satu slot kosong di pasukan satelit pengeluar KTM iaitu Tech3, di samping Brad Binder yang sebelum ini diumum pengganti tempat Hafizh untuk saingan musim depan.

Begitupun dalam satu temubual dengan media antarabangsa di litar Silverstone semalam, Hafizh berkata: "Saya tidak tahu. Pada masa ini saya tidak ada sebarang perbincangan dengan Herve mengenai perkara ini. 

"(Keputusan Zarco) adalah satu kejutan besar untuk semua pihak dan sudah pasti saya percaya yang Zarco adalah seorang pelumba yang bagus dan sangat pantas. Namun, mungkin apa yang dikatakannya betul, dia mahu tunggangan menyeronokkan bersama motosikal, menunggang dengan gembira dan cuba memburu penamat di podium.

"Bagi saya, saya tidak berharap perkara seperti ini berlaku tetapi sekiranya pasukan mahu saya kekal, saya mahu kekal dalam kelas MotoGP. Tetapi sekiranya saya tidak mempunyai peluang, mungkin seperti (Thomas) Luthi, saya akan kembali ke saingan Moto2 dan cuba melakukan yang sebaik mungkin.

"Saya mempunyai beberapa pilihan (Moto2), tetapi pada masa ini saya tidak boleh menyatakan apa-apa lagi."

Menguatkan lagi spekulasi, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali juga pernah menyatakan yang dirinya sedang menunggu keputusan atau cadangan daripada pihak Tech3 mengenai Hafizh. 

Dalam laporan BH Sukan minggu lalu, Razlan berkata: "Saya menunggu keputusan atau apa-apa cadangan daripada Tech3 untuk Hafizh dan kita tengok pilihan lain yang ada untuk dia kekal di Kejuaraan Motosikal Dunia tahun depan... tak kisah di MotoGP ataupun Moto2. 

"InsyaAllah di Silverstone nanti, kita akan lebih tahu mengenai perkembangan dan kedudukan Hafizh."

Berita Harian X