Sabtu, 14 September 2019 | 9:31pm
Fabio Quartararo meraih barisan depan ketujuh buat dirinya di GP San Marino. - Foto EPA

Quartararo mula barisan depan

KUALA LUMPUR: Fabio Quartararo meraih barisan depan ketujuh buat dirinya di Grand Prix (GP) San Marino selepas mencatat masa ketiga terpantas dalam sesi kelayakan kelas MotoGP di Litar Misano, sebentar tadi. 

Pelumba PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) itu mencatat 1 minit 32.571 saat tatkala pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Maverick Vinales merekodkan catatan terpantas, 1'32.265s.

Pelumba Red Bull KTM Factory Racing, Pol Espargaro meraih permulaan barisan depan pertamanya selepas 12 pusingan musim dengan catatan 1'32.560s. 

Mengepalai barisan kedua adalah rakan sepasukan Quartararo, Franco Morbidelli (1'32.710s), diikuti pelumba Repsol Honda Team, Marc Marquez (1'32.742s) manakala Andrea Dovizioso mewakili Ducati melengkapkan barisan kedua dengan catatan, 1'33.038s

Sementara itu dalam kelas Moto3, John McPhee yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Racing bakal memulakan perlumbaan dari petak ke-14 selepas mencatat masa terbaiknya dalam sesi kelayakan, 1'44.326s.

Rakannya yang bakal mengharungi cabaran musim depan bersama pasukan Tech3, Ayumu Sasaki bakal menyertai perlumbaan 23 pusingan itu dari petak ke-19 selepas mencatat 1'43.568s.

Tatsuki Suzuki daripada pasukan SIC58 Squadra Corse menyambar petak utama bagi saingan kelas berkenaan dengan catatan terpantas, 1'42.844s. Aron Canet (Sterilgarda Max Racing Team) berada di petak kedua manakala Tony Arbolino (VNE Snipers) melengkapkan barisan depan perlumbaan.

Berita Harian X