Jumaat, 20 September 2019 | 11:35am
MARC Marquez

Marquez intai gelaran keenam di Aragon

PARIS: Marc Marquez mengintai peluang menjulang gelaran dunia kali keenam MotoGP minggu ini di gelanggang sendiri di GP Aragon, Ahad ini.

Perlumbaan minggu ini adalah keempat dalam kalender perlumbaan MotoGP berlangsung di bumi kelahiran Marquez di Sepanyol termasuk Jerez, Catalunya dan Valencia.

Saingan Ahad ini akan berlangsung di Aragon Motorland, 160km dari bandar kelahiran Marquez di Cervera, satu daerah dengan 25,000 penduduk yang menyaksikan pasangan adik beradik itu bersama Alex paling dikenali di situ.

Sirkit sepanjang 5.077km lazimnya membawa tuah kepada pelumba Honda itu yang pernah tiga kali muncul juara di situ sejak tiga musim lalu.

"Saya benar-benar terasa berada di rumah sendiri kerana ia hampir dengan Cervera," kata Marquez.

"Orang kampung saya akan datang beramai-ramai ke sini untuk menyaksikan saya berlumba dan kehadiran mereka memberikan sokongan satu kelebihan untuk saya.”

Dengan baki enam perlumbaan lagi, pelumba Sepanyol itu selesa mendahului pencabar terdekat, Andrea Dovizioso dari Ducati dengan 93 mata.

Marquez sudah menang enam daripada 10 perlumbaan awal musim ini tapi akur kepada Dovizioso di GP Austria dan Alex Rins (Suzuki) di GP Great Britain sebelum bangkit di GP Itali, Ahad lalu.

Pada perlumbaan itu, Marquez memintas muka baru Perancis, Fabio Quartararo pada selekoh terakhir di GP San Marino untuk muncul juara.

"Selepas kejayaan di Misano, saya kembali teruja untuk berlumba lagi,” kata Marquez.

Quartararo, yang mewakili SRT – pasukan satelit Yamaha mendahului perlumbaan sejak mula sehingga 20 pusingan namun pengalaman Marquez membezakannya apabila dia dipintas di pusingan terakhir di Misano.

"Bersaing dengan Marc di Misano beerti saya perlu ke Aragon dengan keyakinan,” kata Quartararo sambil mengakui dia menggemari litar di Aragon.– AFP

Berita Harian X