Sabtu, 21 September 2019 | 10:48pm
Marc Marquez (tengah) bersama Fabio Quartararo (kiri) dan Maverick Vinales selepas sesi kelayakan di Alcaniz, Sepanyol. - Foto EPA

Marquez, Quartararo teruskan perseteruan di Aragon

ALCANIZ, Sepanyol: Marc Marquez menjadi pilihan utama untuk menang di MotoGP Aragon selepas berkedudukan petak pendahulu Grand Prix di laman sendiri ketika penunggang Sepanyol itu akan meneruskan perseteruan dengan pelumba Perancis, Fabio Quartararo di barisan depan dengan Maverick Vinales ketiga.

Juara bertahan, Marquez menang di Aragon sejak tiga musim lalu dan penunggang berusia 26 tahun itu pantas dalam sesi kelayakan sebelum menyambar petak pendahulu 0.327 saat di depan Quartararo.

Minggu lalu, Marquez berada di belakang Quartararo selama 18 pusingan di GP San Marino sebelum akhirnya mengatasi penunggang Yamaha itu pada pusingan terakhir dan menang.

Ia adalah kemenangan ketujuhnya musim ini dan Marquez menjelaskan dia berazam untuk tidak akan berada di tempat kedua lagi selepas dikalahkan di penamat dua perlumbaan di Silverstone dan GP Belanda.

Marc Marquez menjadi pilihan utama untuk menang di MotoGP Aragon. - Foto AFP

Esok peminat di litar sepanjang 5.077km dekat Aragon, hanya 160km dari bandar kelahiran penunggang Honda itu di Cervera, boleh menjangkakan saingan sengit antara dua penunggang itu.

Quartararo berkata dia terkejut dengan sesi kelayakan terakhir untuk merebut petak depan.

“Saya berkata kepada diri sendiri sama ada saya jatuh atau dapat petak depan, saya tidak rasa saya akan cukup pantas,” katanya mengenai trek berkenaan. - AFP

Berita Harian X