Isnin, 30 September 2019 | 7:46am
Lewis Hamilton meraih kemenangan pertama dalam empat perlumbaan. - Foto EPA
Lewis Hamilton (tengah) menang dengan kelebihan 3.829 saat di depan rakan sepasukan dan pencabar terdekat, Valtteri Bottas (kiri). Pemandu Ferrari, Charles Leclerc di tangga ketiga. - Foto EPA

Mercedes dominasi GP Russia

SOCHI, Russia: Lewis Hamilton meraih kemenangan pertama dalam empat perlumbaan apabila dia menamatkan rentetan kemenangan Ferrari dengan strategi terbaik buat Mercedes di Grand Prix Russia.

Juara dunia lima kali itu menang dengan kelebihan 3.829 saat di depan rakan sepasukan dan pencabar terdekat, Valtteri Bottas ketika Mercedes menggunakan sepenuhnya masalah taktikal dan ketahanan Ferrari dengan menempatkan dua jentera Silver Arrows di depan.

Sebastian Vettel, yang mendahului sejak pusingan pertama, mengalami kegagalan mekanikal dan menamatkan saingan lebih awal seterusnya memberikan Mercedes penguasaan di Sochi kepada enam kemenangan berturut-turut.

Pemandu Ferrari, Charles Leclerc kecewa di tangga ketiga selepas bermula dari petak pendahulu dan hilang kelebihan kepada Vettel pada pusingan awal dalam saingan diganggu kemasukan dua kali Kereta Keselamatan serta sekali ‘Virtual Safety Car’.

Kemenangan Hamilton adalah yang pertama sejak Grand Prix Hungary pada 4 Ogos, kesembilan dalam 16 perlumbaan musim ini dan ke-82 sepanjang kariernya, memberikannya jurang 73 mata dalam kedudukan pemandu. 

Pemandu Red Bull, Max Verstappen keempat selepas bermula di petak kesembilan, di depan rakan sepasukan Alex Albon yang bermula dari laluan pit. - AFP

Berita Harian X