Jumaat, 1 November 2019 | 6:05pm
Fabio Quartararo beraksi dalam sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto AFP
Fabio Quartararo beraksi dalam sesi latihan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). - Foto AFP

PETRONAS Yamaha SRT guna jentera YZR-M1 spesifikasi A

SEPANG: Pasukan PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (PETRONAS Yamaha SRT) bakal menggunakan jentera YZR-M1 berspesifikasi A bagi musim 2020 selepas mempamerkan prestasi yang menakjubkan pada penampilan pertama dalam kelas MotoGP tahun ini.

Untuk tahun ini, pasukan menggunakan motosikal Yamaha spesifikasi A dan B. Pada ketika ini mereka sudah berada di tangga keempat keseluruhan senarai pasukan MotoGP selain mendahului klasifikasi 'Independent Team' dengan kelebihan 58 mata.

Malah pasukan yang dibarisi pelumba Fabio Quartararo dan Franco Morbidelli itu juga sudah di barisan depan perlumbaan untuk 14 kali dengan dua kedudukan petak utama dan enam penamat di podium.

"Musim pertama yang menakjubkan buat PETRONAS Yamaha SRT dalam kelas MotoGP," kata Prinsipal Pasukan, Datuk Razlan Razali.

"Kami sangat berterima kasih kepada PETRONAS atas komitmen diberikan dan juga Yamaha kerana kepercayaan diberikan kepada kami.

"Franco dan Fabio sudah memberikan sumbangan dengan begitu baik kepada kejayaan kami tahun ini. Dengan kedua-duanya bakal menggunakan jentera sama (musim depan), ia bakal membolehkan kami untuk mencapai sesuatu yang lebih baik.

"Kami berbangga kerana dapat membuat pengumuman ini di Malaysia, laman sendiri buat PETRONAS dan juga pasukan."

Berita Harian X