Ahad, 3 November 2019 | 9:28am
PELUMBA pasukan Mercedes, Valtteri Bottas. - Foto AFP

Bottas bakal bermula dari petak depan

AUSTIN, Texas: Valtteri Bottas meraih petak depan perlumbaan Formula Satu di Grand Prix Amerika lewat hari ini dan berpeluang muncul juara selepas rakan sepasukan Mercedes, Lewis Hamilton bakal bermula dari petak kelima. 

Hamilton, jika menaiki podium di Austin akan muncul juara dunia kali keenam dengan baki tiga perlumbaan.

Pelumba Ferrari, Sebastian Vettel mengiringi Bottas di petak depan bersama pemandu Red Bull, Max Verstappen di petak ketiga.

Verstappen terlepas kedudukan petak utama di GP Mexico minggu lalu angkara gagal memperlahankan keretanya ketika bendera kuning dikibarkan.

Seorang lagi pelumba Ferrari, Charles Leclerc akan bermula di petak keempat.

Bottas memecut di Sirkit Americas yang kurang rata itu untuk merakam satu minit 32.029 saat bagi membolehkan Mercedes meraih petak utama keenam di Texas.

Setakat ini, belum ada pemenang di GP Texas yang bermula dari petak belakang.

Vettel terlepas petak utama selepas ketinggalan 0.012 saat ketika kelayakan terakhir pagi tadi.

Hamilton pula tidak menyalahkan sesiapa selepas akur bermula dari petak kelima.

“Jujurnya saya tidak mahu terlalu memikirkannya ketika ini, saya hanya mahu melihat apa yang sudah berlaku sebentar tadi dan perlu utamakan perlumbaan nanti,” kata Hamilton.

Hamilton mencatat keputusan positif setiap kali berlumba di Grand Prix AS dengan mencatat lima kemenangan di Texas dan menyifatkan Sirkit Americas itu sebagai ‘gelanggang terbaik memburu gelaran’ untuknya meraih gelaran dunianya sekali lagi.

Bottas, kini ketinggalan 74 mata di belakang Hamilton dengan tiga baki perlumbaan. – Reuters

Baki GP Formula satu 2019:

Grand Prix Sao Paulo, Brazil (Senna Tribute) – 9 November 2019

Grande Premio Do Brasil 2019 (Sao Paulo) – 17 November 2019

Grand Prix Abu Dhabi 2019, (UAE) – 1 Disember 2019

Berita Harian X