Ahad, 3 November 2019 | 4:09pm
ALEX Marquez beraksi dalam perlumbaan Moto2 di Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Reuters

Alex sah gelaran dunia Moto2 di Sepang

SEPANG: Alex Marquez menyertai kejayaan abangnya Marc Marquez apabila menjulang gelaran juara dunia kelas Moto2 bagi musim 2019 di Grand Prix (GP) Malaysia sebentar tadi.

Penamat kedua di Litar Antarabangsa Sepang sudah cukup buat Alex dinobatkan selaku juara kelas pertengahan itu dengan 262 mata keseluruhan tatkala Marc sudah merangkul gelaran dalam kelas MotoGP di Thailand, awal Oktober lalu.

Kejayaan dua beradik ini mengulangi sejarah dilakar mereka sebelum ini iaitu pada tahun 2014 - ketika itu Alex menjuarai kelas Moto3 manakala Marc meraih gelaran dunia keduanya di kelas MotoGP.


ALEX Marquez meraikan gelaran juara dunia kelas Moto2 bagi musim 2019 bersama rakan sepasukan di Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Syarafiq Abd Samad

"Terima kasih kepada pasukan," kata Alex yang berlumba bersama pasukan EG 0,0 Marc VDS. "Ia bagaikan satu mimpi yang menjadi kenyataan dan saya sangat gembira."

Pelumba Red Bull KTM Ajo, Brad Binder memenangi perlumbaan di Sepang dengan catatan 38 minit 07.843 saat (s) manakala Thomas Luthi (Dynavolt Intact GP) melengkapkan pentas podium, 38'10.526s.

Dalam pada itu, Alex turut menzahirkan rasa dukacitanya terhadap kematian pelumba Indonesia dalam saingan Asia Talent Cup (ATC), Afridza Munandar pada Perlumbaan 1, semalam.


ALEX Marquez meraikan gelaran juara dunia kelas Moto2 bagi musim 2019 di Grand Prix (GP) Malaysia. - Foto Syarafiq Abd Samad

Berita Harian X