Isnin, 4 November 2019 | 2:09pm
KETUA Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

SIC dapat petunjuk kes curi

KUALA LUMPUR: Pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mempunyai petunjuk baharu mengenai kes kecurian komponen pada saingan Grand Prix (GP) Malaysia dan perkembangan itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). 

"Kami baru dapat satu, dua petunjuk. Yang bagusnya, ada individu yang menulis kepada bahagian perkhidmatan awam (menerusi laman web SIC). Ada petunjuk yang kami boleh sampaikan kepada pihak polis," kata Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Datuk Razlan Razali.

GP Malaysia gempar apabila terdapat beberapa komponen dan barangan pasukan yang beraksi dalam kelas Moto2 dan Moto3 dicuri sekitar jam 1 hingga 6 pagi Jumaat lalu. Paling terkesan dengan kes berkenaan adalah pasukan Angel Nieto. 

Antara komponen dicuri merangkumi set lengkap penyerap hentak, angkup cakera brek, komputer riba, alatan bengkel dan pemanas tayar. 

"Apa yang dilaporkan media bagi menjaga nama negara dan Litar Sepang, (maka) ada maklumat yang kami dapat berserta gambar dan kami akan melakukan siasatan bersama pihak polis," katanya.

Berita Harian X