Isnin, 18 November 2019 | 8:54am
MAX Verstappen beraksi pada Grand Prix di Interlagos. - Foto AFP

Verstappen kuasai GP Brazil  

SAO PAULO: Max Verstappen mempamerkan potensi untuk muncul juara dunia pada masa hadapan dengan merakamkan kejayaan buat Red Bull dalam perlumbaan dipenuhi kemalangan pada Grand Prix di Interlagos.

Pemandu berumur 22 tahun dari Belanda itu dua kali mengatasi juara enam kali, Lewis Hamilton dalam perlumbaan mendebarkan apabila dua kali kereta keselamatan memasuki litar dan menyaksikan kedua-dua pemandu Ferrari, Sebastian Vettel dan Charles Leclerc mengalami kemalangan dan terpaksa menarik diri, sebelum menjulang kejayaan kelapan dalam kariernya.

Kemenangan itu juga adalah kali ketiga buatnya pada musim ini bagi mengubat kekecewaan perlumbaan tahun lalu di Brazil di mana dia berpeluang memenangi perlumbaan sebelum kemalangan di hujung perlumbaan menyaksikan harapannya berkecai.

Beliau juga memperoleh petak utama di kebanyakan perlumbaan dan perlumbaan awal pagi tadi menyaksikan beliau mengatasi bekas rakan sepasukan Red Bull, Pierre Gasly, kini bersama Toro Rosso, apabila mereka menduduki kedudukan satu-dua dengan menggunakan jentera dari Jepun, Honda buat kali pertama sejak wira tempatan, Ayrton Senna.

Gasly dari Perancis, mencatatkan 0.062 saat di hadapan Hamilton yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga buat Mercedes sebelum beliau dikenakan penalti dan diturunkan ke kedudukan ketujuh selepas siasatan mendapati pemandu itu melanggar pemandu Thai, Alexander Albon, pemandu yang menggantikan Gasly di Red Bull, pada pusingan terakhir.

Penalti dikenakan kepada Hamilton bagaimanapun menghadiahkan pemandu McLaren, Carlos Sainz kemenangan pertamanya di podium Formula Satu.

“Lewis sangat laju,” kata Verstappen. “Jadi saya perlu memberi tekanan pada setiap masa. Dia memasuki pit lebih awal jadi kami perlu pantas apabila berada di hentian pit kami dan kami dapat mengatasinya.

“Saya boleh mengawal perlumbaan dengan tayar yang ada, jadi bagi saya, ia adalah sukar dipercayai. Ia adalah menyeronokkan di luar sana dan rasa bagus dapat memenangi perlumbaan ini.” – AFP

MAX Verstappen menjulang trofi selepas menjuarai perlumbaan Grand Prix di Interlagos. - Foto AFP

Keputusan F1 GP Brazil

1. Max Verstappen (NED/Red Bull) 1 jam 33 minit 14.678 saat, 2. Pierre Gasly (FRA/Toro Rosso) +6.077s, 3. Carlos Sainz Jr (ESP/McLaren) +8.896, 4. Kimi Raikkonen (FIN/Alfa Romeo Racing) +9.452, 5. Antonio Giovinazzi (ITA/Alfa Romeo Racing) +10.201, 6. Daniel Ricciardo (AUS/Renault) +10.541, 7. Lewis Hamilton (GBR/Mercedes) +11.139, 8. Lando Norris (GBR/McLaren) +11.204, 9. Sergio Perez (MEX/Racing Point) +11.529, 10. Daniil Kvyat (RUS/Toro Rosso) +11.931, 11. Kevin Magnussen (DEN/Haas) +12.732, 12. George Russell (GBR/Williams) +13.599, 13. Romain Grosjean (FRA/Haas) +14.247, 14. Alexander Albon (THA/Red Bull) +14.927, 15. Nico Hulkenberg (GER/Renault) +18.059, 16. Robert Kubica (POL/Williams) +1 pusingan

Berita Harian X