Khamis, 21 November 2019 | 10:17pm
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah
Pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah. - Foto Asyraf Hamzah

Hafizh teruja cabar kemampuan di S1K

KUALA LUMPUR: Edisi ke-11 Perlumbaan Endurance 1,000km Sepang (S1K) hujung minggu ini tentunya menampilkan kelainan tersendiri apabila pelumba dua roda negara, Hafizh Syahrin Abdullah dijadual menyertai saingan kompetitif empat roda buat julung kalinya. 

Hafizh mula berlatih bersama pasukannya Hi-Rev SIC Dream Chaser seminggu sebelum perlumbaan terakhirnya dalam kelas MotoGP di Grand Prix (GP) Valencia baru-baru ini sebagai platform awal mengetahui lebih lanjut selok belok perlumbaan kereta di Litar Antarabangsa Sepang. 

Mengulas mengenai persiapannya bersama kereta Toyota Vios bernombor 910, Hafizh berkata dia menggunakan perlumbaan ini sebagai persediaan mengharungi saingan Kejuaraan Dunia Piala Touring Car (WTCR) di Sepang dari 13 hingga 15 Disember ini.

"Peralihan daripada dua roda kepada empat roda adalah sesuatu yang berbeza secara taktikal dan juga strategi. 

"Saya perlu bersedia baik daripada sudut mental dan fizikal. Saya perlu menyesuaikan diri dengan pelbagai fleksibiliti yang berbeza serta pergerakan jentera empat roda di trek.

"Hujung minggu ini, Hafizh bakal bergandingan bersama rakan pasukan yang juga anak kepada bekas pelumba Formula Satu (F1), Alex Yoong, Alister Yoong selain bakat muda sedang meningkat naik berusia 17 tahun, Bradley Benedict Anthony. 

Selain pasukan Hi-Rev SIC Dream Chaser dalam senarai penyertaan bagi kelas M-Production, turut menyertai perlumbaan adalah Proton R3, BHP Petrol Team, OD Racing, Tedco Racing, Daniel Rein Ooi, N1 Racing, Keno SRT Motorsport, Team RS Autosport, Phillips 66, HMRT (Honda Malaysia Racing Team), Kegani Racing, DV Motorsport dan Wing Hin.RWorks, Riyoz Racing, HIREV SIC Dream Chaser, Team SSAD Associates, ST Wangan, BHP Petrol Racing Team, OD Racing, Daniel Rein Ooi, 23 Motors, 778 Autosport, TMP Piston Project, Mashlino, Salwal dan Keno SRT Motorsport adalah antara pasukan yang beraksi dalam kelas S-Production. 

Kira-kira 72 kereta bakal menghangatkan litar Sepang bagi perlumbaan ini.

 

 

Berita Harian X