Ahad, 1 Disember 2019 | 11:58pm
PELUMBA pasukan Mercedes AMG PETRONAS, Lewis Hamilton. - Foto AFP

Hamilton unggul di Abu Dhabi

ABU DHABI: Lewis Hamilton membuktikan kejaguhannya apabila merangkul kemenangan ke-84 Formula Satu (F1) kariernya dan ke-11 daripada 21 perlumbaan musim ini dengan menjuarai saingan penutup tirai di Grand Prix Abu Dhabi, hari ini.

Bermula di petak utama - yang ke-88 sepanjang kariernya - pelumba kelahiran Britain berusia 34 tahun itu gagal dicabar untuk menamatkan perlumbaan 16 saat di depan pelumba Red Bull, Max Verstappen dan Charles Leclerc (Ferrari) yang berdepan siasatan susulan penggunaan minyak.

Ia juga adalah kemenangan kelima pelumba pasukan Mercedes AMG PETRONAS itu yang juga juara dunia enam kali di Litar Yas Marina.

“Ia benar-benar dalam kelas yang menakjubkan,” kata jurutera perlumbaan Hamilton, Peter Bonnington menerusi radio pasukan. “Kamu langsung tidak perlu mengeluarkan peluh.”

Hamilton yang mengesahkan kejuaraan dunia keenam berbaki dua pusingan perlumbaan musim ini di Texas membalasnya: “Saya boleh memberi jaminan kepada kamu, saya memang berpeluh.”

Rakan sepasukan Hamilton, Valtteri Bottas, yang terpaksa memulakan perlumbaan di petak terakhir selepas menggunakan enjin baharu menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat di depan pelumba Ferrari, Sebastian Vettel dan Alex Albon (Red Bull).

Keputusan itu jelas meningkatkan moral pelumba kelahiran Finland itu yang tiga hari lalu mengumumkan perpisahan dengan isterinya, Emilia. - AFP

Berita Harian X