Selasa, 3 Disember 2019 | 2:19pm
PASUKAN PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing meraikan gelaran juara CP150 oleh Ahmad Afif Amran di Pusingan 9 Kejuaraan Cub Prix di Jempol, Negeri Sembilan bulan lalu.

Peluang PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing bolot semua

KUALA LUMPUR: Pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing berpeluang membolot empat gelaran seperti dilakukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor pada musim 2017 di pusingan kemuncak Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), hujung minggu ini.

Setakat sembilan pusingan, pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing sudah memuktamadkan satu gelaran dalam kategori CP150 menerusi pelumbanya Ahmad Afif Amran yang mengungguli carta kedudukan keseluruhan kelas perdana itu dengan 147 mata.

Di Sepang nanti, PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing mengimpikan tiga lagi gelaran iaitu pasukan terbaik CP150, CP115 dan juara keseluruhan dalam kategori pelumba CP115 menerusi pelumbanya, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff.

Begitupun, pasukan yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu harus berdepan saingan sengit daripada pencabar lebih berpengalaman PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang ketika ini hanya dipisahkan dengan jurang mata kecil dalam ketiga-tiga kategori berkenaan.

Dalam kedudukan pelumba CP115, Ahmad Syukran hanya dipisahkan tujuh mata daripada pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli manakala mereka mendahului carta pasukan CP150 dan CP115 dengan kelebihan empat dan 14 mata berbanding pasukan seterunya itu.

"Saingan (Cub Prix) sudah lama tidak memasuki Sepang dan kami hanya berpandukan kepada data yang lama," kata pengurus teknikal pasukan, Mohammad Syafari Saad ketika dihubungi.

"Apa yang saya lihat, kelebihan itu ada pada pasukan yang mengikuti saingan ARRC (Kejuaraan Motosikal Asia) walaupun saingan bagi UB150 (di ARRC yang mempunyai pusingan di Sepang) dengan Cub Prix berbeza.

"Sepang juga sebuah trek yang panjang, berbeza dengan sebelum ini... pendek. Apapun, kami sudah bersedia untuk CP150 dan juga yang lain. Apa yang penting bagi kami adalah strategi pasukan pada Sabtu dan Ahad ini... bagaimana kami perlu bersaing dan menyerang."

Saingan kemuncak di Litar Sepang dijadual bermula dengan sesi latihan bebas dan kelayakan pada Sabtu sebelum perlumbaan berlangsung keesokan harinya.

Berita Harian X