Rabu, 4 Disember 2019 | 10:44pm
Md Syafiq Rosli ketika saingan Cub Prix Pusingan 9 di Jempol, Negeri Sembilan bulan lalu.

Syafiq fokus cari kemenangan di Sepang

KUALA LUMPUR: Kali terakhir Litar Antarabangsa Sepang (SIC) menjadi tuan rumah pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS adalah pada 2013 namun bagi pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Syafiq Rosli dia harus memberi tumpuan penuh kepada saingan hujung minggu ini sekiranya mahu muncul juara keseluruhan dalam kelas CP115.

Kebanyakan pasukan tentunya kekurangan data di SIC dan pelumba dari Taiping, Perak berkenaan mengharapkan jenteranya berada dalam keadaan terbaik di sepanjang dua hari saingan bagi membolehkan dirinya dapat memberikan sepenuh tumpuan pada pusingan kemuncak musim 2019 itu.

"Bagi saya, ia bergantung kepada motosikal. Sekiranya motosikal berada dalam keadaan baik, saya boleh mengawal permainan. Saya harap, motosikal tidak mengalami sebarang masalah di trek nanti," kata Syafiq.

Pelumba berusia 22 tahun itu ketika ini berada di tangga kedua keseluruhan dengan 153 mata dan sedang merebut gelaran takhta kejuaraan dengan pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Syukran Aizat Md Yusoff yang hanya mendahului tujuh mata di puncak carta pelumba kelas berkenaan.

"Keyakinan itu ada tapi saya tidak terlalu meletakkan harapan. Saya hanya fokus untuk menamatkan perlumbaan dengan mengutip mata. Sekarang ini peluang terbaik untuk saya dapatkan gelaran juara," katanya yang pernah meraih penamat ketiga di Litar Sepang pada 2013 dalam kelas Wira.

Penyertaannya pada musim itu juga menyaksikan Syafiq muncul naib juara keseluruhan.

Justeru, Syafiq melihat Litar Sepang pada kali ini sekali lagi menyajikan peluang untuknya meraih gelaran juara sekali gus membantu pasukan dalam memburu gelaran pasukan terbaik.

Dalam kategori pasukan, PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor hanya ketinggalan 14 mata di belakang PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing dan Syafiq mengharapkan rakan sepasukannya, Md Alif Ashraf Tahiruddin juga mampu memberikan prestasi terbaik di Sepang.

INFO

Nama: Md Syafiq Rosli

Pasukan: PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor

Nombor jentera: 36

Tempat lahir: Taiping, Perak

Tarikh lahir: 5 April 1997

Adik beradik: Kedua daripada empat

Berita Harian X