Isnin, 9 Disember 2019 | 12:02pm
Hafizh (tengah) akan mengharungi perlumbaan kompetitif 'Races of Malaysia' yang merangkumi dua perlumbaan motorsikal dan kereta - Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Sepang, minggu ini.
Hafizh (tengah) akan mengharungi perlumbaan kompetitif 'Races of Malaysia' yang merangkumi dua perlumbaan motorsikal dan kereta - Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR) di Sepang, minggu ini.

Hari sibuk Hafizh di Sepang

Bermula hari ini, Hafizh Syahrin Abdullah dijadual mengharungi tujuh hari penuh sibuk dalam karier perlumbaannya dengan ikon dua roda negara itu bakal mengharungi perlumbaan kompetitif 'Races of Malaysia' yang merangkumi dua perlumbaan motorsikal dan kereta - Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR). 

Pelumba berusia 25 tahun itu buat julung kalinya mengambil bahagian dalam perlumbaan empat roda WTCR di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) selain mewakili pasukan Yamaha Sepang Racing Team untuk saingan dua roda 'Sepang 8 Hours' (EWC) yang kedua-dua berlangsung serentak hujung minggu yang sama. 

Memulakan minggunya yang padat, untuk hari ini dan esok, Hafizh yang mewakili pasukan Hyundai Team Engstler dijadual menguji kereta i30 N TCR yang bakal dipandunya dalam saingan WTCR sebelum menyertai sesi ujian dan latihan bebas 'Sepang 8 Hours' mengunakan motosikal Yamaha YZF-R1 pada Rabu.

Keesokan harinya Hafizh yang beralih ke saingan kelas Moto2 di Kejuaraan Motosikal Dunia musim depan, bakal menyertai sesi kelayakan untuk saingan dua roda sebelum menukar corak pemikirannya kepada empat roda dijadual memasuki sesi latihan dan kelayakan pada Jumaat. 

Perlumbaan 'Sepang 8 Hours' dijadual berlangsung pada Sabtu tatkala Hafizh perlu pantas 'mencuri tenaga' bagi mengharungi tiga perlumbaan WTCR keesokannya harinya dan baginya: "Ia satu cabaran kerana kami mempunyai perlumbaan EWC selama lapan jam pada Sabtu sebelum tiga perlumbaan menggunakan kereta, keesokan harinya.

"Apapun, saya akan mempersiapkan fizikal sebaik mungkin dan berehat secukupnya kerana ini akan menjadi sesuatu yang penting. Saya harap dapat memandu dengan baik dan kami akan cuba sebaik mungkin."

Hafizh bakal bergandingan bersama pelumba MotoGP, Franco Morbidelli, pelumba Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) dan Suzuka 8 Hours 2019, Michael van der Mark untuk saingan 'Sepang 8 Hours'. 

Bintang dalam pembikinan empat roda, Mitchell Cheah menjadi rakan sepasukan Hafizh untuk saingan WTCR tatkala seorang lagi wakil berpengalaman, Douglas Khoo mewakili pasukan Viper Niza Racing menggunakan jentera CUPRA TCR.

Berita Harian X