Rabu, 11 Disember 2019 | 12:24am
KETUA Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang, Datuk Ahmad Razlan Ahmad Razali bersama para pelumba pelumba EWC dan WTCR di Dataran Merdeka. - Foto NSTP/Eizairi Shamsudin

Perarakan khas EWC, WTCR meriah

KUALA LUMPUR: Perarakan khas yang menampilkan sebahagian pelumba dan pemandu berlangsung malam ini sempena Kejuaraan Endurance Dunia (EWC) dan Kejuaraan Piala Touring Car Dunia (WTCR), minggu ini.

Perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menyaksikan Malaysia akan membariskan bakat pelumba paling ramai menyertai saingan kali ini.

Hafizh Syahrin Abdullah akan mencabar dirinya menerusi perlumbaan dua roda EWC yang juga dikenali 'Sepang 8 Hours' selain WTCR menerusi Hyundai I30 N TCR mewakili pasukan Hyundai Team Engstler bersama rakan sepasukan Mitchell Cheah pada Ahad.

SEBAHAGIAN pelumba yang menyertai pelumbaan Races of Malaysia: FIM Endurance World Championship FIM (FIM EWC) dan FIA World Touring Car Cup (FIA WTCR) di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada hujung minggu ini membuat perarakan khas di sekitar ibu kota dan berakhir di Dataran Merdeka. - Foto BERNAMA

Mitchell yang juga produk program Pembangungan Bakat SIC adalah bintang yang sedang meningkat naik apabila meraih tiga kemenangan di Kejuaraan TCR Jerman.

Dalam kategori dua roda, Malaysia turut diwakili pelumba seperti Muhammad Farid Badrul Hisham, Amirul Hafiq Azmi, Ahmad Daniel Haikal, Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Kamaruzaman serta Adam Norrodin.

Selain Hafizh Syahrin dan Mitchell untuk kategori empat roda, pemandu lain yang akan beraksi adalah Douglas Koo dalam pasukan Viper Niza Racing menerusi tiket wildcard.

“SIC berhasrat membawa acara kejohanan dunia ke Malaysia yang bukan saja untuk perlumbaan tetapi menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk beraksi di peringkat dunia.

“Saya gembira tujuh pelumba Malaysia beraksi untuk EWC dan tiga lagi dalam WTCR. Ia akan menjadi hujung minggu yang menarik dan saya menyeru peminat sukan permotoran hadir dan menyokong bakat tempatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali, hari ini.

Sebanyak 16 motosikal EWC dan 8 kereta WTCR berkumpul di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) Kuala Lumpur dengan sambutan selamat datang diberikan Tourism Malaysia sebelum jelajah di sekitar Kuala Lumpur.

Sesi kelayakan WTCR dijadual bermula pada Jumaat dan perlumbaan akan bermula pada Ahad, manakala perlumbaan EWC pula pada Sabtu.

Tiket Main Grandstand dijual berharga RM220 manakala pas memasuki paddock pula bernilai RM450. Peminat boleh mendapatkan secara atas talian menerusi laman sesawang www.sepangcirciut.com atau pembelian di kaunter SIC.

Berita Harian X