Khamis, 12 Disember 2019 | 10:36pm
DATUK Razlan Razali
DATUK Razlan Razali

Sepang bertuah dipilih anjur EWC, WTCR serentak

KUALA LUMPUR: Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dianggap bertuah kerana dipilih buat julung kalinya untuk menganjurkan Races of Malaysia, dua perlumbaan eksklusif membabitkan aksi dua roda dan empat roda serentak hujung minggu ini.

Untuk penganjuran unik ini, SIC dengan jarak 5.543km, 15 selekoh dan lapan jalan lurus, turut mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai Litar Formula Satu (F1) pertama menganjurkan dua kejohanan bertaraf dunia secara serentak itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Sepang International Circuit (SIC), Datuk Razlan Razali berkata perkembangan pesat sukan permotoran di rantau Asia antara tarikan utama penganjur Eurosport Events untuk memilih Sepang sebagai penganjur FIM Endurance World Championship (EWC) dan World Touring Car Cup (WTCR).

Selain penganjuran pertama, Litar Antarabangsa Sepang diberi penghormatan sebagai pusingan kedua dalam kalendar kejuaraan EWC musim 2019-2020 dikenali sebagai Sepang 8 Hours selain menjadi pusingan kelayakan bagi pasukan Asia untuk layak ke Suzuka 8 Hours tahun depan.

Sementara untuk perlumbaan WTCR pula, penganjuran di Sepang adalah kemuncak musim 2019 dengan penentu gelaran juara bagi klasifikasi pelumba dan pasukan bakal ditentukan di Malaysia.

"Kita memang rasa bertuah untuk dapat proposal daripada Eurosport yang unik sebab ini pertama kali Sepang Circuit menganjurkan acara unik seperti ini. Dan ia sedikit

sebanyak dapat membantu kempen Visit Malaysia 2020.

"Acara seperti WTCR dan EWC, mereka (penganjur) sentiasa mahu berlumba di rantau Asia sebab Asia adalah market yang telah membangun setakat ini berbanding di Eropah, Amerika, Amerika Utara dan selatan, dan sebagainya.

"Rantau Asia yang mustahak untuk mereka melihatkan kepada manufacturer terlibat untuk dua roda dan empat roda selain Asia dan China adalah rantau yang dari segi jualan kereta dan motorsikal terbesar. Jadi strategik untuk mereka berlumba di Asia terutama di Sepang yang litarnya bertaraf dunia, berjaya menganjurkan F1 dan MotoGP dan strategik," katanya kepada Bernama.

Selain mencipta sejarah tersendiri, Razlan berkata dengan penganjuran dua perlumbaan ini dapat melebarkan lagi lembaran sukan permotoran kepada cabang endurance memandangkan negara mempunyai ramai bakat dalam sukan permotoran.

Katanya, beberapa pelumba negara mendapat peluang berlumba dalam EWC dan juga mendapat tiket wildcard untuk perlumbaan WTCR yang boleh menjadi platfrom terbaik untuk mereka mengukur tahap prestasi mereka di samping jaguh dunia.

Untuk EWC, Malaysia tentunya tidak ketinggalan dengan penyertaan beberapa pelumba terkemuka negara seperti Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin, Zaqhwan Zaidi, Azlan Shah Kamaruzaman dan Farid Badrul Hisham bakal menghangatkan lagi saingan.

Sebanyak 51 pasukan daripada Eropah, Jepun dan Asia Tenggara termasuk Malaysia, Indonesia dan Thailand bakal berentap dalam perlumbaan menguji ketahanan fizikal dan mental ini tatkala jumlah maksima motosikal di grid perlumbaan adalah 60 buah.

Bagi WTCR, pelumba muda meningkat yang mencipta nama di TCR Jerman, Mitchell Cheah akan bergandingan dengan Hafizh Syahrin dalam pasukan Hyundai Team Engstler manakala pemandu berpengalaman, Douglas Khoo beraksi bersama pasukan Viper Niza Racing.

Tiga pelumba WTCR berada dalam pertandingan sengit dengan perbezaan mata keseluruhan yang rapat dalam merebut kejuaraan musim ini.

Kedua perlumbaan EWC dan WTCR akan berlangsung di bawah lampu limpah baharu yang dirasmikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Ogos tahun lalu.

Perlumbaan WTCR terdiri daripada tiga perlumbaan singkat pada waktu siang, petang dan pada malam di bawah lampu limpah pada Ahad, 15 Dis di Litar Antarabangsa Sepang.

-- BERNAMA

Berita Harian X